TikTok kembali beroperasi di Albania selepas setahun disekat

TikTok kembali beroperasi di Albania selepas setahun disekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIRANA: Platform media sosial TikTok kini kembali boleh diakses di Albania selepas tempoh sekatan selama setahun tamat bulan ini.

Kes itu menggambarkan kerumitan dalam mengenakan sekatan di wilayah yang berpecah dari segi politik, selain mencetuskan persoalan mengenai keselamatan dalam talian dan penapisan maklumat.

Sekatan tersebut yang dikenakan tahun lalu, secara rasminya dikaitkan dengan kematian seorang remaja lelaki akibat buli dalam talian, menyaksikan platform video pendek milik syarikat China itu diharamkan untuk semua pengguna.

Kerajaan Albania kini menyatakan bahawa TikTok telah memperketatkan langkah keselamatan dengan secukupnya.

Bagaimanapun, kes itu dilihat kompleks bagi sebuah negara yang sedang dilanda pergolakan isu rasuah politik, di mana parti pemerintah kini memegang kuasa untuk penggal keempat berturut-turut.

Parti pembangkang menuduh kerajaan cuba membungkam suara mereka dengan menyekat platform tersebut hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya parlimen tahun lalu.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Albania, Edi Rama memaklumkan kepada Reuters bahawa TikTok telah mengambil langkah perlu untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan, selain menyifatkan sekatan tersebut berjaya memberi tekanan kepada platform berkenaan.

“Melalui tindakan sewajarnya terhadap kebimbangan kami, TikTok membuktikan bahawa ‘syaitan itu tidaklah sehitam yang disangka’,” jelas kerajaan dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pihaknya telah menetapkan penapis penting bagi tujuan keselamatan dan bahasa.

Pihak TikTok bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan. Kerajaan Albania menegaskan bahawa tiada kaitan antara sekatan TikTok dengan campur tangan pilihan raya, dan matlamat utama mereka hanyalah untuk melindungi kanak-kanak.

Terdahulu, perkhidmatan TikTok digantung di Albania selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut ditikam oleh rakan sekolahnya.

Laporan media tempatan mendakwa jenayah itu berlaku selepas kedua-dua pelajar berkenaan bertelagah di alam maya, namun pihak TikTok pada ketika itu menyatakan pergaduhan tersebut tidak bermula di platform mereka.

Insiden tersebut juga berlaku beberapa minggu sebelum pilihan raya parlimen yang kritikal bermula. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN