Thailand mahu bantu Myanmar kembali ke ASEAN

Thailand mahu bantu Myanmar kembali ke ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand sedang berusaha untuk mengembalikan junta Myanmar ke dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, Bangkok bersedia bertindak sebagai ‘jambatan’ untuk membantu Myanmar kembali berinteraksi dengan ASEAN, tetapi Naypyidaw mesti menunjukkan kesediaan memberi respons kepada kedua ASEAN dan komuniti antarabangsa.

Selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 2021, ASEAN mengecualikan Naypyidaw daripada mesyuarat tahunan blok itu.

Pertempuran etnik di Myanmar semakin memuncak sejak itu kerana negara tersebut terus dilanda konflik saudara lima tahun selepas rampasan kuasa.

Ribuan orang terbunuh dan hampir tiga juta terpaksa berpindah akibat pertempuran antara junta dan kumpulan penentang, menurut pemantau hak asasi manusia.

Phuangketkeow berkata, dasar Thailand adalah untuk menghidupkan semula interaksi langsung antara ASEAN dan Myanmar selaras dengan konsensus lima perkara blok itu, yang menuntut penamatan keganasan serta mempromosikan dialog inklusif.

“Bangkok bersedia untuk membantu dalam apa jua cara yang mampu, terutama dalam menyokong dialog, tetapi kami tidak akan menentukan apa yang perlu dibincangkan.

“Akhirnya, rundingan damai mesti datang dari dalam Myanmar sendiri,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas rundingan tidak rasmi dengan rakan sejawatannya dari Myanmar, Than Swe, di Phuket selatan Thailand.

Kedua-dua pihak membincangkan usaha mempertingkatkan kerjasama di sepanjang sempadan sejauh 2,400 kilometer bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Phuangketkeow turut menyatakan kesediaan Bangkok untuk memudahkan hubungan di peringkat tempatan dengan kumpulan etnik Myanmar sepanjang sempadan, jika diminta, bagi mempromosikan keamanan di Myanmar.

“Terpulang kepada Myanmar untuk memulakan dialog dalaman terlebih dahulu,” katanya, menekankan bahawa keamanan mesti datang daripada perdamaian dalaman.

“Thailand ingin melihat keamanan dan kestabilan yang mampan di Myanmar, yang akan memberi manfaat kepada keselamatan nasional Thailand serta kerjasama ekonomi dua hala,” tambah Phuangketkeow.

Langkah konkrit seperti memulakan dialog, membenarkan akses kemanusiaan, mengurangkan keganasan dan mengehadkan serangan terhadap orang awam akan memberi isyarat positif dan membantu membuka jalan bagi reintegrasi Myanmar, katanya lagi.

ASEAN dianggotai oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam dan Timor-Leste.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN