Tasik Bukit Merah kering

Tasik Bukit Merah kering

KEADAAN Tasik Kolam Bukit Merah, Bagan Serai, Perak yang surut berikutan cuaca panas sehingga menampakkan tunggal kayu di dasarnya.– UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Paras air di Tasik Kolam Bukit Merah di sini semakin surut susulan cuaca panas berpanjangan sejak beberapa minggu lalu.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan air dan sumber rezeki nelayan darat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penyusutan paras air tasik itu kian ketara sehingga menampakkan tunggul-tunggul kayu di dasarnya.

Malah, terdapat kawasan yang telah kering sejauh lebih 800 meter dari pelantar nelayan darat di Kampung Selamat di sini.

Keadaan tersebut menyukarkan nelayan darat untuk turun ke tasik bagi mencari rezeki kerana bot sukar bergerak akibat air cetek selain risiko terlanggar tunggul kayu yang boleh mero­sakkan enjin dan badan bot.

Penyusutan air itu turut memberi kesan kepada aktiviti harian komuniti setempat yang bergantung kepada tasik berkenaan.

Tasik Bukit Merah merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan domestik dan pertanian khususnya sawah padi di daerah Kerian selain kegunaan perindustrian di Taiping.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, paras air Tasik Bukit Merah kini berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap 2.

Katanya, paras semasa tasik direkodkan pada 21.05 kaki atau 6.416 meter dengan baki simpanan air sekitar 10.837 juta meter padu bersamaan 19.89 peratus.

“Paras ini diklasifikasikan sebagai Aras Kritikal Pengairan Tahap 2. Susulan itu, operasi bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di Rancangan Pengairan Kerian dilaksanakan secara catuan.

“Bagaimanapun, bekalan air domestik kepada pengguna awam masih dikekalkan seperti biasa,” katanya.

Paras air empangan mula menunjukkan trend penurunan sejak 25 Disember lalu apabila berada pada Aras Berjaga-jaga Pengairan 25.00 kaki sebelum mencecah paras kritikal 23.00 kaki pada 12 Januari.

Beberapa langkah kawalan dalaman dilaksanakan termasuk catuan bekalan pengairan mengikut kompatmen serta penggunaan pam bergerak di lokasi terjejas dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta IADA Kerian.

JPS Negeri Perak turut mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan hulu Lembangan Sungai Perak bagi meningkatkan peluang hujan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN