Tarif: Trump tidak hirau keputusan Mahkamah Agung

Tarif: Trump tidak hirau keputusan Mahkamah Agung

WARTAWAN bertanya soalan kepada Presiden Donald Trump semasa sidang media di Bilik Taklimat Akhbar Brady, Rumah Putih di Washington, DC, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import ke Amerika Syarikat (AS), yang dikuatkuasakan serta-merta.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump mengesahkan menandatangani perintah tarif yang dikenakan ke atas semua negara di Pejabat Oval, Rumah Putih.

“Satu penghormatan besar buat saya kerana baru sahaja menandatangani pelaksanaan Tarif Global 10 peratus terhadap semua negara, yang akan berkuat kuasa hampir serta-merta,” katanya.

Beberapa minit kemudian, Rumah Putih mengeluarkan helaian fakta yang menjelaskan Trump menandatangani pengisytiharan dengan merujuk kuasa beliau di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 untuk mengenakan duti import sementara.

Duti baharu itu dijadualkan berkuat kuasa pada 24 Februari selama 150 hari, dengan pengecualian diberikan untuk sektor yang berada di bawah siasatan berasingan, termasuk farmaseutikal, serta barangan bawah Perjanjian AS-Mexico-Kanada.

Menurut Rumah Putih, rakan dagang AS yang mencapai perjanjian tarif sebelum ini juga akan dikenakan duti 10 peratus, walaupun kadar dipersetujui sebelumnya mungkin lebih tinggi.

Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah memberitahu AFP, pentadbiran Trump akan mencari jalan untuk melaksanakan kadar tarif yang lebih sesuai atau berunding terlebih dahulu pada masa hadapan.

Pelaksanaan duti baharu itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan tarif timbal balas ke atas hampir semua rakan dagangan AS adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah tertinggi itu turut memutuskan Trump melampaui kuasa presiden apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas.

Trump membidas keputusan berkenaan dan mendakwa tanpa sebarang bukti kononnya mahkamah dipengaruhi kepentingan asing.

“Saya malu dengan sesetengah ahli mahkamah, benar-benar malu, kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul untuk negara,” kata Trump kepada pemberita.

Walaupun Trump sekian lama menggunakan tarif sebagai alat tekanan diplomatik dan rundingan, beliau memanfaatkan kuasa ekonomi kecemasan yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam penggal kedua untuk mengenakan duti baharu ke atas hampir semua rakan dagang AS.

Ini termasuk tarif timbal balik terhadap amalan perdagangan yang dianggap Washington sebagai tidak adil, selain set duti berasingan menyasarkan rakan dagang utama iaitu Mexico, Kanada dan China berhubung aliran dadah haram serta isu imigresen.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN