Takiyuddin layak jadi Ketua Pembangkang

Takiyuddin layak jadi Ketua Pembangkang

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat tokoh paling layak menjawat jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Antara kriteria dimiliki Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah, beliau merupakan seorang profesional sebagai pengamal undang-undang, petah berdebat, fasih dengan selok-belok sistem berparlimen dan serba boleh.

Bagaimanapun, pakar menolak pandangan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Radzi Jidin layak menjawat jawatan itu memandangkan Bersatu kini hanya mempunya enam Ahli Parlimen menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, berdasarkan amalan, Ketua Pembangkang biasanya disandang oleh pemimpin tertinggi dalam gabu­ngan pembangkang seperti Tan Sri Lim Kit Siang, Allahyarham Datuk Fadzil Noor bahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, mungkin disebabkan faktor­ usia, jawatan Ketua Pembangkang diserahkan kepada Hamzah yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

“Tetapi kalau kita bercakap soal pengganti Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, sepatutnya (Presiden Pas, Tan Sri) Abdul Hadi (Awang) menggantikannya, namun sekiranya Pas mahu meletakkan tokoh lain Takiyuddin boleh dinamakan.

“Secara relatifnya, Takiyuddin seorang yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kelebihan untuk berdebat walaupun kadang-kadang ada ‘melatah­nya’. Tetapi, beliau boleh belajar seni berdebat apabila meme­gang jawatan tersebut.

“Secara tidak langsung, lama kelamaan mampu me­nguasai seni berdebat di Parlimen itu dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Ahmad Fauzi berpendapat, Bersatu kehilangan ‘permata’ di Parlimen apabila memecat Hamzah yang beliau sifatkan sebagai Ketua Pembangkang yang efektif.

Pada masa sama, beliau juga menyatakan bahawa tidak terkejut sekiranya Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang memandangkan mempunyai sokongan daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu ketika ini.

“Prestasi Hamzah sangat­ memberangsangkan sebagai Ketua Pembangkang. Pada masa-masa tertentu, beliau berjaya memberikan tekanan kepada kerajaan. Isu-isu dibawanya juga ada yang ‘menjentik’ kerajaan.

“Dengan majoriti Ahli Parlimen masih berpihak kepadanya, Hamzah bukan sahaja kekal relevan malah mungkin boleh meneruskan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Persoalan mengenai jawatan Ketua Pembangkang timbul apabila Hamzah dipecat daripada Bersatu pada Jumaat lalu.

Pada Program Taklimat Haja Tuju Reset Politik, kelmarin, Hamzah sendiri menyatakan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang akan diumumkan kemudian namun mengatakan bahawa sekiranya beliau masih diberi tanggungjawab itu, ia menunjukkan Ahli Parlimen pembangkang masih bersamanya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan isu jawatan Ketua Pembangkang akan dibincangkan dalam kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional kelak.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Takiyuddin mempunyai karisma sebagai seorang Ketua Pembangkang berbanding tokoh lain dalam Pas kerana beliau merupakan ahli politik serba boleh.

Katanya, berdasarkan latar belakang Takiyuddin sebagai seorang peguam, itu me­ningkatkan lagi kredibilitinya untuk berdebat dan berhujah mengenai sesuatu isu sambil dihormati oleh kerajaan.

“Takiyuddin ini mempunyai latarbelakang sebagai peguam ia cocok dengan fungsi Parlimen itu sendiri iaitu menggubal undang-undang. Jadi apa-apa isu mengenai perundangan sememangnya ‘makanan’ beliau. Itu antara ke­lebihannya berbanding lain.

“Kalau dilihat, pakej dimiliki Takiyuddin amat sempurna untuk jawatan tersebut, beliau mampu membawa isu perundangan, tahu selok-belok institusi berparlimen, tata kelola dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan turut melontarkan pendapat sama apabila mengatakan bahawa tidak mustahil Hamzah akan kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dengan soko­ngan majoriti Ahli Parlimen dari Bersatu masih bersamanya.

“Walaupun, Tan Sri Muh­yiddin Yassin masih ada kawalan terhadap Bersatu namun jawatan Ketua Pembangkang bukan keputusan daripadanya, ia keputusan semua Ahli Parlimen di kem pembangkang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×