ROMPIN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap kejadian pembunuhan tragis yang berlaku di Cherating, pagi tadi.
Baginda bertitah, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan mengejutkan, khususnya apabila ia melibatkan sebuah keluarga.
“Saya ingin menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian (pembunuhan) yang berlaku pagi tadi di Cherating, Kuantan. Ini tidak harus berlaku dan sebagai raja pemerintah, saya nasihatkan rakyat saya supaya awasilah mereka yang cuba mempunyai perangai yang sebegini, tidak harus dibiarkan,” titah baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat menghadiri persembahan Taklimat Pembangunan Pulau Tioman di Dewan Berjaya Tioman Resort di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka dan tidak memandang ringan sebarang tanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
“Saya ingin menjemput semula kita baca al-Fatihah pada mereka yang telah menjadi mangsa kejadian ini. Al-Fatihah,” titah baginda.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu, isteri dan dua anak perempuannya sebelum membunuh diri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan empat mayat ditemukan dalam sebuah bilik, manakala mayat seorang wanita dengan kesan berlumuran darah ditemukan di dapur kediaman terbabit. – UTUSAN










