KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan
melihat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merupakan individu paling layak untuk mengemudi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha menyelamatkan dan memulihkan semula imej badan induk bola sepak negara itu.
Presidennya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengalaman luas miliki baginda dalam bola sepak sebelum ini mampu memulihkan semula imej sukan dan badan berkenaan.
“Bagaimanapun terserah kepada Tuanku untuk menerima atau cadangan tersebut. Melihat keadaan bola sepak hari ini tidak sama seperti dahulu.
“Dulu FAM dikuatkan oleh persatuan bola sepak negeri-negeri, namun sebaliknya hari ini. Persatuan bola sepak negeri dilihat sudah tidak kuat dan lebih berbentuk kelab,” katanya semasa ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat khas secara tertutup kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di sini, malam tadi.
Takiyuddin yang merupakan bekas Naib Presiden FAM itu memberitahu, beliau menyokong penuh jika baginda kembali semula menerajui badan induk tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, Bekas Setiausaha Agung FAM Mohd. Saifuddin Abu Bakar mencadangkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kembali menjadi presiden badan induk itu.
Saifuddin membuat cadangan tersebut kerana beliau melihat Al-Sultan Abdullah bukan saja sedia mendengar pandangan pelbagai pihak.
Malah, baginda juga hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.-UTUSAN










