Sepanduk seru pembebasan Selatan Thai dipasang di 46 lokasi

Sepanduk seru pembebasan Selatan Thai dipasang di 46 lokasi

ANTARA sepanduk yang digantung berbaur hasutan digantung di beberapa kawasan di Selatan Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Penduduk di empat wilayah selatan negara ini iaitu Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla dikejutkan dengan pemasangan sepanduk ‘berbaur’ hasutan berkaitan pembebasan kawasan itu daripada pentadbiran Thailand.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penggantungan sepanduk di 46 lokasi yang menyeru pembebasan wilayah berkenaan daripada Thailand adalah simbol ancaman keselamatan.

Katanya, daripada jumlah 12 sepanduk digantung di Wilayah Yala dan Narathiwat, Songkhla (10) serta Pattani (7).

Ujarnya, susulan itu pihak berkuasa masih menyiasat sama ada penggantungan sepanduk itu mempunyai kaitan dengan hari pengundian Pilihan Raya Umum 2026 Thailand pada Ahad.

“Pihak berkuasa menerima beberapa laporan bermula pukul 6 pagi tadi dan hasil siasatan mendapati setakat petang ini sepanduk itu digantung serentak malam tadi di 46 lokasi di Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla, semalam.

“Pada masa sama beberapa objek mencurigakan dipercayai bahan letupan buatan sendiri (IED) diletakkan berhampiran sepanduk berkenaan yang kemudian dimusnahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sumber memberitahu, antara mesej utama yang ditulis dalam bahasa Melayu, Thai dan Inggeris pada sepanduk berkenaan ialah ‘Pembebasan Patani adalah prasyarat kepada keamanan berkekalan’; ‘Patani merdeka’ dan ‘Free Patani Free Our Nation’.

Katanya, unit operasi khas bersama telah digerakkan mengepung kawasan itu dan menghantar unit pemusnah bom (EOD) ke kawasan di mana objek mencurigakan itu ditemui.

“Pihak berkuasa juga masih menyiasat penggantungan sepanduk berkenaan mungkin operasi psikologi ketika kempen pilihan raya yang semakin sengit di Narathiwat, Yala dan Pattani.

“Kadang-kala kumpulan pemisah ini juga mahu menunjukkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka masih wujud dan boleh menentukan masa depan politik mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×