Selepas 37 jam hilang, mayat Ahmad Nuruddin ditemukan

Selepas 37 jam hilang, mayat Ahmad Nuruddin ditemukan

JASAD Ahmad Nuruddin yang hilang ketika mandi-manda di Pantai Kandis pada 17 Februari lalu ditemukan pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Jasad adik kepada seorang anggota bomba yang hilang ketika bermandi-manda di Pantai Kandis ditemukan pagi semalam selepas lebih 37 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat Ahmad Nuruddin Ab. Wahab, 21, ditemukan orang ramai pada pukul 6.55 pagi di persisir Pantai D’Aur di sini.

“Jasad lelaki berkenaan ditemukan pada jarak 3.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang di Pantai Kandis di sini. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk Tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kelmarin, media melaporkan, seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang yang hilang semasa cuba menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis, ditemukan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, ditemukan pada pukul 12.15 tengah hari.

Sebelum itu, Allahyarham cuba menyelamatkan adiknya yang lemas semasa bermandimanda dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang 17 Februari lalu.

Sementara itu, jenazah Ahmad Nuruddin selamat dikebumikan bersebelahan kubur abangnya itu di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sri Gedombak, Pasir Puteh kira-kira pukul 2 petang semalam.

Ibu kepada kedua-dua mangsa, Sawidah Mamat, 65, berkata, dia tidak menyangka kehilangan dua anak lelakinya serentak.

“Semoga Allah menempatkankedua anak saya ini dalam kalangan orang-orang yang baik dan beriman,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN