HULU TERENGGANU: Kerap kemalangan, mendap, runtuh malah meragut nyawa.
Itu sering berlaku di Jalan Kenyir-Felda Aring sepanjang kira-kira 230 kilometer walaupun ratusan juta ringgit dibelanjakan membinanya.
Sehingga pada satu tahap berulang kali terpaksa ditutup sementara atas faktor keselamatan pengguna.
Lokasi paling kerap rosak dan mengalami runtuhan adalah di Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, Kilometer (KM) 74.8 sehingga KM75 di seksyen 87 yang mula dibina pada 2001 dengan matlamat membuka akses pedalaman serta memendekkan jarak perjalanan antara Gua Musang, Kelantan; Cameron Highlands, Pahang dan Terengganu.
Ketika ini, laluan itu ditutup untuk kegunaan awam sejak lebih setahun lalu ekoran kejadian tanah runtuh sejauh kira-kira 100 meter ekoran hujan lebat. Projek membaik pulih laluan berkenaan hanya dijangka siap pada November 2027 dengan kos RM26 juta.
Ini bermakna, laluan berkenaan ditutup sepenuhnya selama tiga tahun kepada semua kenderaan sebelum pengguna boleh menggunakannya semula.
Gangguan laluan utama boleh menjejaskan akses perkhidmatan kecemasan dan pergerakan penduduk setempat. Daripada sudut ekonomi, penutupan atau gangguan jalan menyebabkan kelewatan pengangkutan barangan, peningkatan kos logistik serta penurunan aktiviti pelancongan.
Dalam kejadian terbaharu awal bulan lalu, seorang guru dan pekerja kantin yang bakal berkahwin maut selepas kereta dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring dekat Bukit Kawah ketika menggunakan laluan ditutup itu.
Hakikatnya, pembinaan jalan berkenaan yang diharapkan menjadi nadi penghubung strategik antara pantai timur dan wilayah pedalaman bertukar menjadi konflik infrastruktur apabila berdepan penutupan berpanjangan ekoran isu keselamatan yang berulang sejak lebih dua dekad lalu.
Ia berdepan risiko geografi yang tinggi disebabkan kedudukannya di kawasan berbukit, berhampiran sungai dan cerun curam. Faktor ini menjadikan jalan berkenaan terdedah kepada kejadian hakisan dan tanah runtuh terutama ketika musim hujan lebat berpanjangan.
FAKTOR GEOLOGI ASAS MASALAH
Asasnya, jajaran Jalan Aring-Kenyir dibina merentasi kawasan berbukit yang dikelilingi hutan simpan serta sistem sungai dan aliran air bawah tanah. Struktur tanah di kawasan ini kebanyakannya terdiri daripada tanah laterit dan tanah lembut yang mudah terhakis apabila terdedah kepada air dalam tempoh yang lama.
Kejadian runtuhan jalan yang berlaku bukanlah insiden terpencil sebaliknya berpunca daripada interaksi kompleks antara faktor geologi, keadaan cuaca ekstrem dan cabaran kejuruteraan jalan di kawasan berbukit.
Daripada sudut geologi, kawasan ini didominasi oleh batuan yang mengalami proses luluhawa serta lapisan tanah baki yang lemah.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dr. Wan Noor Hin Mior Sani berkata, keadaan itu menjadi lebih buruk oleh topografi berbukit dengan cerun curam sekali gus menjadikan kestabilan tanah sangat bergantung kepada kandungan air dalam cerun.
“Apabila hujan lebat berterusan berlaku, air meresap ke dalam tanah dan meningkatkan tekanan air liang. Situasi ini menyebabkan kekuatan ricih tanah berkurang secara ketara, seterusnya mencetuskan kegagalan cerun dan runtuhan jalan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

HUJAN BERTERUSAN PENCETUS UTAMA
Beliau berkata, faktor cuaca khususnya hujan lebat berpanjangan memainkan peranan besar dalam menjejaskan kestabilan cerun di kawasan ini.
Katanya, air hujan yang tidak dapat dialirkan dengan cekap akan menepukan lapisan tanah lemah, mencetuskan aliran air bawah permukaan dan melemahkan struktur sokongan cerun.
“Dalam banyak kes, cerun yang kelihatan stabil dalam keadaan cuaca biasa boleh gagal secara tiba-tiba apabila terdedah kepada hujan lebat berpanjangan, menjadikan cuaca sebagai faktor pencetus utama kejadian runtuhan. Dari perspektif kejuruteraan jalan, sistem saliran memainkan peranan kritikal dalam mengekalkan kestabilan cerun.
“Reka bentuk jalan di kawasan berbukit seperti Kenyir-Aring sepatutnya mengambil kira intensiti hujan yang tinggi, sifat tanah luluhawa serta aliran air permukaan dan bawah tanah,” katanya.
Namun katanya, sistem saliran yang direka berdasarkan kapasiti asal mungkin tidak lagi mencukupi akibat perubahan corak hujan, penuaan infrastruktur serta degradasi struktur sokongan cerun.
“Apabila air gagal dialirkan dengan berkesan, ia terkumpul dalam cerun dan meningkatkan risiko kegagalan struktur jalan,” katanya.
Beliau percaya runtuhan jalan di laluan Kenyir-Aring adalah hasil gabungan faktor geologi yang lemah, topografi mencabar, hujan lebat berterusan serta keterbatasan sistem saliran dan kestabilan cerun sedia ada.
Katanya, insiden itu menuntut pendekatan bersepadu berasaskan sains kejuruteraan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelestarian pembangunan infrastruktur di kawasan berisiko tinggi.
JADI PILIHAN KERANA MENJIMATKAN MASA
Walaupun Jalan Aring-Kenyir-Kuala Jeneris kerap rosak, ia tetap menjadi pilihan pengguna sebagai laluan alternatif ke Tasik Kenyir, Pusat Konservasi Gajah, Lebuhraya CSR, Gua Musang, Cameron Highlands dan Ipoh.
Pengguna boleh menjimatkan sehingga separuh masa perjalanan umpamanya berbanding melalui Jalan Kuala Terengganu- Jertih, Machang, Kuala Krai- Gua Musang untuk ke Felda Chiku 3 di Gua Musang.
Selain laluan kenderaan berat seperti lori, laluan ini juga menjadi pilihan peserta konvoi motosikal dan kereta serta laluan ulang alik setiap minggu bagi penduduk tempatan yang bekerja di luar kawasan.

Seorang pengguna, Mohamad Zaib Mohd, 58, berkata, dia kerap menggunakan laluan itu untuk ke rumah anaknya di Marang, Terengganu dari Felda Chiku 5 kerana menjimatkan masa.
“Saya mengetahui jalan ini berisiko kerana acap kali berlaku kemalangan dan kejadian tanah runtuh namun saya dapat menjimatkan masa sehingga hampir tiga jam untuk ke Marang dari Felda Chiku 5,” katanya.
TUTUP ATAS FAKTOR KESELAMATAN
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, penutupan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris ketika ini dibuat atas faktor keselamatan pengguna jalan raya.
“Kajian teknikal yang terperinci perlu dilaksanakan sebelum sebarang kerja pembaikan berskala besar dilakukan. Runtuhan dilaporkan berlaku berulang kali sejak laluan tersebut dibina, menimbulkan persoalan sama ada reka bentuk asal serta kaedah pembinaan mengambil kira faktor geologi kawasan berkenaan atau tidak,” katanya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan teknikal mendapati antara punca utama kejadian runtuhan adalah aliran air bawah tanah serta kegagalan struktur pembentung sedia ada.
Katanya, keadaan geologi kompleks mempercepat kerosakan terutama ketika musim hujan, sekali gus menyebabkan pembaikan bersifat sementara gagal bertahan dalam jangka masa panjang.-UTUSAN.










