KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengetuai Program Konvoi Gemilang 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Perlis, di sini, semalam.
Konvoi berkenaan turut disertai Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut barisan pengurusan tertinggi Mara terdiri daripada Ketua Pengarahnya Datuk Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah, Zahari Aziz, dan Pengarah Mara negeri, Mohd Azam Jamaluddin.
Penganjuran program dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu bertujuan menyantuni golongan asnaf serta meraikan kejayaan usahawan Mara di seluruh Perlis.
Peserta konvoi turut berkesempatan singgah di dua hentian usahawan Mara terdiri daripada inap desa The Mamawan Stay di Jalan Padang Besar Selatan, Kuala Perlis serta Pusat Servis dan Pembaikan Kenderaan Haquetta Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis.
Selain itu, konvoi itu turut mendapat penyertaan subsidiari Mara iaitu Rural Capital Berhad (RCB) dan Yayasan Pelajaran Mara mencerminkan sinergi kukuh pelbagai pihak dalam menjayakan agenda pembangunan keusahawanan serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat di negeri ini.
Bersempena program itu, Mara turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan asnaf termasuk bantuan persekolahan buat 30 pelajar, sumbangan tunai melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta sumbangan tunai kepada lima orang anak angkat RCB.
Selain itu, bantuan kewangan, kotak makanan dan bantuan pembaikan rumah turut disampaikan kepada keluarga asnaf terpilih dengan jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM20,000.-UTUSAN










