LONDON: Anak kepada mendiang Ratu Elizabeth II, Putera Andrew, dilaporkan berpindah dari kediaman mewahnya di Windsor ke sebuah estet diraja di timur England, menurut laporan BBC semalam.
Perpindahan itu berlaku ketika beliau berdepan penelitian baharu mengenai hubungannya dengan mendiang pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Bekas kerabat diraja itu, kini dikenali sebagai Andrew Mountbatten-Windsor, menghadapi tekanan baharu untuk menjelaskan pendedahannya dalam dokumen berkaitan Epstein yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Menurut laporan tersebut, Andrew, 65, meninggalkan Royal Lodge pada Isnin lalu, namun Istana Buckingham enggan mengesahkan laporan itu kepada agensi berita AFP.
Beliau sebelum ini menetap di hartanah berhampiran Istana Windsor bersama bekas isterinya, Sarah Ferguson, selama dua dekad lalu.
Andrew kini dilaporkan menetap di kediaman sementara di estet Sandringham di Norfolk.
Laporan akhbar tabloid The Sun pula mendakwa beliau akan berpindah ke kediaman tetap di sana, iaitu Marsh Farm, yang kini sedang dalam proses pengubahsuaian.
Tekanan terhadap adik kepada Raja Charles III itu semakin memuncak sejak kemunculan foto dan emel dalam fail Epstein yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.
Dokumen tersebut memaparkan foto Andrew melutut di sebelah seorang wanita yang terbaring di atas lantai, serta e-mel jemputan kepada Epstein ke Istana Buckingham untuk berbincang secara peribadi.
Pendedahan terbaharu itu turut mendorong Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, untuk menyarankan agar Andrew memberikan keterangan di hadapan Kongres AS mengenai maklumat diketahuinya tentang jenayah yang dilakukan oleh Epstein.
Situasi semakin meruncing apabila mangsa kedua Epstein mendakwa melalui peguamnya bahawa pembiaya AS itu pernah menghantarnya ke Britain pada 2010 untuk mengadakan hubungan seks dengan Andrew di Royal Lodge.
Andrew secara konsisten berulang kali menafikan sebarang salah laku. Sebelum ini, beliau telah membayar penyelesaian berjuta-juta pound pada 2022 kepada seorang lagi penuduh, Virginia Giuffre, tanpa sebarang pengakuan bersalah. Giuffre dilaporkan membunuh diri pada tahun lalu.
Andrew telah mengundurkan diri daripada tugas rasmi diraja pada 2019 susulan dakwaan kaitan dengan Epstein, yang meninggal dunia akibat bunuh diri dalam penjara pada tahun yang sama sementara menunggu perbicaraan atas jenayah seks terhadap kanak-kanak bawah umur.- AFP










