PSAP desak UMPSA ambil tindakan tegas terhadap pelajar ditahan hina al-Quran, nabi - Utusan Malaysia

PSAP desak UMPSA ambil tindakan tegas terhadap pelajar ditahan hina al-Quran, nabi

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mendesak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengambil tindakan tegas terhadap seorang penuntutnya yang memuat naik hantaran menghina kitab suci al-Quran dan Nabi Muhammad SAW di media sosial.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, perbuatan itu sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa di bulan mulia Ramadan.

“Walaupun pelajar terbabit sudah memohon maaf, tindakan tegas tetap perlu diambil sebagai pengajaran agar perbuatan yang boleh menggugat keharmonian kaum tidak berulang.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja menyentuh sensitiviti kaum dan agama, malah boleh mencetuskan ketegangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy turut mengingatkan orang ramai khususnya golongan muda agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan di media sosial.

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Jangan sesekali menyentuh isu sensitif kaum dan agama,” tegasnya.

Tular di media sosial kenyataan seorang individu dikatakan penuntut UMPSA yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW termasuk memuat naik gambar memijak al-Quran.

Ekoran tindakan itu, seorang penuntut UMPSA berusia 21 tahun direman empat hari sehingga 28 Februari ini selepas ditahan polis kerana memuat naik gambar yang menghina kitab suci al-Quran di lama media sosial Threads miliknya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang juga bapa kepada suspek.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang dikaitkan dengan seorang penuntut universiti berkenaan.

Beliau menegaskan pihak universiti tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan palsu atau berbaur kebencian.

“Sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti yang boleh mencetuskan pelbagai reaksi warga maya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yatimah berkata, UMPSA sudah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN