Program MAIPs beri manfaat besar kepada golongan memerlukan di Perlis - Utusan Malaysia

Program MAIPs beri manfaat besar kepada golongan memerlukan di Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan agihan zakat MAIPs di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Program pembangunan sosial melalui bantuan sara hidup, pendidikan, kesihatan, perumahan serta skim pemerkasaan ekonomi oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memberi manfaat langsung kepada sebahagian besar golongan memerlukan khususnya asnaf di Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kejayaan tersebut perlu diteruskan dan diperkemas lagi agar keberkatan serta manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh dan berpanjangan.

Titah baginda, inisiatif transformasi digital yang dilaksanakan oleh MAIPs juga merangkumi pendigitalan kaedah dan data peningkatan kecekapan sistem dalaman serta pengukuhan platform perkhidmatan yang telah banyak membantu mempercepat urusan.

“Selain itu, ia juga mengurangkan bebanan kerja serta meningkatkan ketelusan,” titah baginda
selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan agihan zakat MAIPs di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping, semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bersama Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 penerima dalam kalangan asnaf.

Ia melibatkan 75 anak kariah Felda Chuping, 75 anak kariah Batu Bertangkup, 75 anak kariah Panggas serta 75 anak kariah Kok Klang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN