BAITULMUQADDIS: Polis Israel akan mengerahkan pasukannya secara besar-besaran di sekitar Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan yang bermula minggu ini, ketika pegawai Palestin menuduh rejim mengenakan sekatan di kawasan berkenaan.
Sepanjang Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin biasanya menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam yang terletak di Baitulmuqaddis Timur, wilayah yang ditawan Israel pada 1967 sebelum dijajah.
Pegawai kanan polis Baitulmuqaddis, Arad Braverman mendakwa, anggota keselamatan akan ditempatkan siang dan malam di seluruh kawasan kompleks itu, yang turut dikenali oleh penganut Yahudi sebagai Temple Mount, serta di kawasan sekitarnya.
Menurutnya, ribuan anggota polis juga akan ditugaskan ketika solat Jumaat yang dijangka menarik kehadiran jemaah paling ramai.
Katanya, polis mencadangkan supaya 10,000 permit dikeluarkan kepada rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki bagi membolehkan mereka memasuki Baitulmuqaddis, tertakluk kepada kebenaran khas.
Bagaimanapun, katanya, jumlah akhir permit serta sama ada had umur akan dikenakan masih menunggu keputusan kerajaan.
Gabenor Baitulmuqaddis Palestin dalam satu kenyataan berasingan berkata, pihaknya dimaklumkan permit akan sekali lagi dihadkan kepada jemaah lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita berusia lebih 50 tahun, selaras dengan kriteria yang diguna pakai tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Israel turut menghalang Wakaf Islam, badan pentadbiran tapak berkenaan yang dikendalikan Jordan, daripada melaksanakan persiapan rutin termasuk memasang struktur teduhan dan menubuhkan klinik perubatan sementara.
Sumber Wakaf Islam mengesahkan sekatan tersebut dan memaklumkan 33 kakitangannya dilarang memasuki kawasan kompleks itu dalam tempoh seminggu sebelum Ramadan.
Kompleks Masjid al-Aqsa menjadi simbol penting identiti Palestin dan sering menjadi titik ketegangan.
Di bawah ketetapan yang lama dipersetujui, penganut Yahudi dibenarkan melawat kawasan itu, yang mereka anggap sebagai lokasi Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh tentera Rom pada tahun 70 Masihi, namun tidak dibenarkan menunaikan ibadat di situ.
Israel menegaskan komitmennya untuk mengekalkan status quo berkenaan, namun rakyat Palestin bimbang ketetapan tersebut semakin terhakis.- AFP










