KANGAR: Perikatan Nasional (PN) ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digembar-gembur sebagai alternatif atau pilihan terbaik menerajui kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) berdasarkan prestasi mereka pada pilihan raya sebelum ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, PN memenangi lebih 70 kerusi Parlimen selain menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan jumlah keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai sebanyak 146.
Bagaimanapun, keyakinan rakyat terhadap PN mula merosot berikutan krisis demi krisis melanda parti di dalam gabungan itu yang menampakkan ketidakstabilan pakatan tersebut.
Selain krisis dalaman Bersatu yang semakin parah ekoran pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada parti, di dalam PN sendiri juga dilihat gagal mencapai kata sepakat khususnya dalam soal pemilihan pengerusi gabungan tersebut yang sudah berlarutan hampir dua bulan.
Bagaimana rakyat hendak memberikan kepercayaan kepada PN untuk mentadbir negara jika gabungan itu sendiri masih tidak stabil. Melihat kepada situasi semasa, tidak mustahil, PN bakal berpecah atau terkubur dengan sendiri sebelum memasuki gelanggang PRU-16.
Perkembangan itu sebaliknya bakal memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PN) mengekalkan kerajaan jika PRU-16 diadakan dalam tempoh terdekat.
Kerajaan perlu mengambil peluang tersebut dengan mengadakan pilihan raya lebih awal iaitu sebaik-baiknya pada hujung tahun ini.
Krisis melanda Bersatu yang turut memberi kesan kepada PN itu dilihat sukar untuk diselesaikan dalam masa terdekat. Ia berhubung kait soal kepercayaan dan keyakinan sesama parti di dalam gabungan yang bukan mudah untuk dipulihkan dalam tempoh terdekat.-UTUSAN.










