TUMPAT: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan membawa masuk senjata api dari Thailand apabila merampas sepucuk pistol bersama lapan butir peluru hidup selepas menahan tiga lelaki di hadapan sebuah premis berhampiran Pengkalan Kubor di sini, kelmarin.
Rampasan itu dilakukan menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan selepas anggota bertugas mengesan sebuah kereta dan sebuah motosikal di bahu Jalan Pengkalan Kubor kira-kira pukul 8.30 malam.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata, semasa rondaan dijalankan, anggota bertugas mengesan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal yang diparkir dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah premis perniagaan.
Menurutnya, ketika anggota menghampiri kawasan itu, salah seorang daripada tiga suspek berusia 26 tahun cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal, namun gagal selepas terjatuh ke dalam longkang.
“Seterusnya, seorang suspek yang merupakan penumpang kereta berkenaan dikesan menolak satu objek ke bawah kenderaan sebaik menyedari kehadiran PGA.
“Hasil pemeriksaan lanjut selepas dipandu arah oleh penumpang kereta tersebut, anggota PGA menemukan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson model 3914 lengkap dengan kelopak berisi lapan butir peluru hidup,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek yang merupakan pemandu kereta tidak membawa kepada penemuan sebarang barangan menyalahi undang-undang.
Katanya, saringan air kencing mendapati dua daripada tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine
“Siasatan awal turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun tidak terlibat dengan aktiviti kumpulan kongsi gelap.
“Pistol tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram Cina di Pengkalan Kubor. Suspek berusia 26 tahun itu dipercayai bertindak sebagai penghantar dengan upah sebanyak RM1,500,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, susulan itu, polis kini memburu seorang individu dikenali sebagai Abe Keydey’ yang dipercayai menjadi dalang pembelian senjata api berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, semua suspek serta barangan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tumpat untuk tindakan lanjut.-UTUSAN










