Petronas untung RM45.4b, merosot 18 peratus

Petronas untung RM45.4b, merosot 18 peratus

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai (PAT) Petroliam Nasional Berhad (Petronas) me­­rosot 18 peratus kepada RM45.4 bilion bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Disember 2025 da­ri­pada RM55.1 bilion yang direkodkan pada 2024.

Bagi tempoh tersebut, sya­rik­at minyak dan gas itu mela­por­kan pendapatan berjumlah RM266.1 bilion, turun 17 pe­ratus.

Ia berbanding RM320 bilion ta­­hun sebelumnya. Ini ter­utamanya disebabkan oleh harga purata terealisasi yang lebih rendah, jumlah jualan yang menurun, kesan pertukaran asing serta penjualan Engen Group.

Kumpulan turut mencatat­kan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah pada RM103 bilion, menurun 10 peratus selaras dengan keuntungan yang me­nurun.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM85.2 bilion, sejajar dengan penurunan EBITDA.

Petronas akan menyalurkan pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan, selaras dengan jumlah yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini, lebih rendah berban­ding RM32 bilion yang dibayar tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi Petronas tahun lalu sebagai berdaya tahan dan ia dicapai dengan latar belakang ketidaktentuan berpanjangan dalam persekitaran operasi mencabar.

Jelasnya, harga minyak mentah Brent susut 14 peratus daripada AS$81 (RM314.95) per tong kepada AS$69 (RM268.29) tahun lalu manakala ringgit turut mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Dalam tahun yang dilanda ketidakpastian pasaran dan kos yang tinggi, Petronas memberi tumpuan kepada memperkukuh daya tahan port­folio kami melalui perkongsian strategik, penggredan portfolio yang tinggi dan usaha-usaha lain yang meningkatkan nilai.

“Semua usaha kami bertujuan untuk memastikan bahawa institusi ini akan kekal berada di kedudukan strategik untuk terus memberikan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan kami dalam jangka masa panjang,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan kewangan Pe­tronas 2025, di sini semalam.

Mengulas mengenai pembayaran dividen RM20 ­bilion kepada kerajaan, beliau berkata, jumlah tersebut telah mendapat kelulusan Lembaga Pe­ngarah syarikat dan ia dikira berdasarkan kemampuan kewangan semasa kumpulan

.Ujarnya, pengurusan dividen merupakan cabaran ber­terusan bagi mana-mana sya­rikat terutamanya dalam mengimbangi tuntutan peme­gang saham dengan keperluan pelaburan masa hadapan syarikat.

“Jawapan bagi dividen pada masa hadapan akan sentiasa tertakluk kepada ­kemampuan kami. Kita perlu contend (berhadapan) dengan hakikat bahawa peralihan tenaga kini berkembang menjadi ‘penambahan tenaga’.

“Memandangkan sistem ba­haru belum dapat menggantikan minyak dan gas sepenuh­nya dalam masa terdekat kami perlu memperuntukkan dana yang mencukupi bagi memastikan ‘corong’ pertumbuhan masa depan terus segar,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah aset kumpulan pula bernilai RM775 bilion manakala ekuiti peme­gang saham meningkat kepada RM448.3 bilion.

Ini terutamanya mencerminkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham dan pergerakan pertukaran asing, sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan sepanjang tempoh tersebut.

Pelaburan Modal (Capex) kumpulan pula mencatatkan RM41.6 bilion, terutamanya daripada aktiviti pembangunan dan pengeluaran huluan.

Peruntukan modal memberi keutamaan kepada projek bernilai tinggi dan mempunyai kelebihan kompetitif, dengan fokus pada penjanaan pendapatan awal dan penambahbaikan berterusan portfolio.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN