PARIT: Cuaca panas berpanjangan menyebabkan paras air Sungai Perak di Kampung Aji, Bota Kiri di sini menjadi semakin cetek.
Keadaan itu juga sekali gus menjejaskan aktiviti penternakan ikan sangkar di kawasan berkenaan.
Seorang pengusaha ikan sangkar, Mohd. Rizal Zubil, 52, berkata, keadaan itu juga menyebabkan aliran air sungai menjadi perlahan dan suhu air meningkat sehingga mengakibatkan kematian ikan yang diternaknya.
Menurutnya, kira-kira 30 peratus daripada ikan patin dan tilapia yang diternak mati akibat kekurangan oksigen berikutan ruang air yang semakin sempit.
“Saya tidak menyangka cuaca sekarang terlalu panas. Walaupun ada hujan pada waktu malam, ia hanya beberapa minit sebelum berhenti. Air sungai terus surut dan menjadi panas.
“Saya menternak antara 25,000 hingga 30,000 ekor ikan patin dan tilapia dalam 60 sangkar dan kira-kira 30 peratus daripadanya mati akibat keadaan cuaca ini. Saya anggarkan kerugian kira-kira RM55,000,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.
Tambah Mohd. Rizal, aliran air yang tidak deras turut menyebabkan tahap oksigen dalam sungai berkurangan sekali gus memberi kesan kepada kesihatan ikan.
Dalam pada itu, dia berkata, paras air sungai yang semakin cetek turut menjejaskan pakej pelancongan makan santai atas bot yang diusahakannya.
Jelasnya, pakej berkenaan menawarkan pengalaman menikmati hidangan tradisional seperti gulai tempoyak patin, tilapia bakar, tilapia goreng, lampam goreng garing serta minuman ais tembikai sambil menyusuri Sungai Perak.
“Apabila air cetek, bot tidak boleh bergerak dan pelanggan tidak dapat menikmati suasana makan di atas air seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana tempahan pakej bagi bulan Ramadan sudah mula diterima, namun dia berada dalam dilema sama ada untuk meneruskan tempahan atau sebaliknya.
“Saya bimbang jika paras air terus cetek dalam tempoh yang lama dan pelanggan mahukan pengalaman makan di atas air. Sekarang ini, di sepanjang tebing sungai sudah jelas kelihatan beting pasir.
“Paras air sungai terlalu cetek dan keadaan ini sangat membimbangkan kami sebagai pengusaha,” katanya.-UTUSAN.










