Penolong akauntan didakwa pecah amanah berjumlah RM416,501.91 - Utusan Malaysia

Penolong akauntan didakwa pecah amanah berjumlah RM416,501.91

TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, selepas menghadapi lima pertuduhan pecah amanah hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penolong akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM416,501.91 bagi tempoh sejak 2020 sehingga 2024.

Tertuduh, Roholiza Roais, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut kertas pertuduhan, Rohaliza didakwa sebagai pengurus akaun di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong secara tidak jujur menggunakan wang terimaan milik PPK itu berjumlah RM116,299.61 pada 2020 dengan melanggar prosedur sistem merekod penerimaan tunai.

Dia turut berhadapan empat lagi pertuduhan membabitkan nilai RM83,207.60 pada 2021, RM86,890.20 (2022), RM87,369.75 (2023) dan RM42,736.75 (2024) dengan semua kesalahan didakwa dilakukan di PPK itu di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid dan Pegawai Pendakwa S. Sujatha daripada SPRM manakala wanita itu diwakili Peguam Datuk Ghazali Cha.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon satu jaminan di kenakan sebanyak RM500,000 bersama syarat tambahan di mana tertuduh perlu menyerahkan passport ke mahkamah, selain melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM serta tidak menganggu saksi.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon jaminan RM5,000 atas alasan OKT tidak akan melarikan diri memandangkan suami dan adik beradiknya bekerja di Perlis, malah anak-anaknya turut bersekolah di sini.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis setiap bulan selain perlu menyerahkan pasport dan pas sempadan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Mac untuk serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN