Penemuan rangka manusia bongkar kehilangan lima sekeluarga

Penemuan rangka manusia bongkar kehilangan lima sekeluarga, rakan lelaki

AB Rahamad Arsad pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penemuan beberapa rangka manusia dalam sebuah rumah terbiar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri dekat sini menjawab kehilangan seorang ibu bersama empat anaknya serta seorang lelaki dewasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, rangka manusia itu ditemukan suami kepada wanita berkenaan setelah mendapat maklumat bahawa isteri dan anak-anaknya tinggal di kediaman tersebut.

Menurut beliau, lelaki berkenaan yang berusia 48 tahun itu kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada pukul 1.28 petang, 9 Januari lalu.

“Siasatan pasukan forensik mendapati rangka tersebut sudah terbakar sejak kira-kira tiga bulan lalu. Selain itu turut disahkan rangka berkenaan melibatkan dua individu dewasa serta empat kanak-kanak yang dilaporkan hilang sebelum ini dan dipercayai berusia 2, 5, 9, 17, 29 dan 35 tahun.

“Pemeriksaan mendapati tiga kanak-kanak serta seorang remaja yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga perempuan itu juga tidak mempunyai sebarang rekod persekolahan.

“Susulan itu, polis telah menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Difahamkan, rumah terbiar yang berada pada jarak kira-kira dua kilometer daripada jalan utama itu bukan sahaja telah musnah terbakar tetapi juga tidak mempunyai bekalan air atau elektrik.

Tambah Ab. Rahaman, keempat-empat suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan mana-mana mangsa kecuali merupakan kawan yang sama-sama menagih dadah dengan individu dewasa yang dilaporkan hilang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati keempat-empat mereka mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian urin mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, dengan dua daripada suspek lelaki bakal didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Manakala dua lagi suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan bon jaminan dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan semasa prosiding berlangsung,” jelasnya lanjut.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN