SEREMBAN: Seorang pembantu rumah warga Indonesia diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dari sebuah rumah di Taman Rasah Kemayan, Seremban 2 di sini hari ini selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kang berkata, wanita berusia 51 tahun itu ditemukan bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian di bilik utama rumah berkenaan.
Menurutnya, mangsa juga berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental yang dilakukan terhadapnya.
“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati, wanita berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Susulan itu, mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Senawang bagi tujuan perlindungan serta membantu siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kennith Tan berkata, seorang wanita warga tempatan yang merupakan majikan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007.
Notis saman juga dikeluarkan terhadap dua individu lain untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Seremban sebagai saksi bagi memberi keterangan.
Beliau berkata, operasi penyelamatan tersebut dijalankan berpandukan Garis Panduan Kebangsaan Petunjuk Pemerdagangan Orang (NIGHTI) 2.0 sebagai rujukan bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang manakala kes disiasat di bawah ATIPSOM (Akta 67).-UTUSAN










