Pas akhirnya dapat terajui Perikatan Nasional

Pas akhirnya dapat terajui Perikatan Nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN mahu menyelesaikan segera isu pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu, Pas terpaksa akur dan bersabar kerana ia tidak semudah seperti disangka apabila bergerak dalam sebuah gabungan.

PN mempunyai empat parti komponen iaitu Pas selaku parti terbesar dalam gabungan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Jika keempat-empat presiden parti komponen ini mengesahkan hadir mesyuarat Majlis Ter­tinggi (MT) PN yang disyorkan selepas 19 Februari ini, kemelut siapa mengetuai gabungan dijangka dapat dirungkai.

Namun, ini bermakna hampir dua bulan gabungan berkenaan bergerak tanpa Pengerusi sebelum dapat dimuktamadkan. Sebagai sebuah parti politik yang sudah 75 tahun bertapak di negara ini, Pas sedar jawatan Pengerusi PN yang kosong perlu diselesaikan secepat mungkin kerana mampu memberi imej negatif jika dilengah-lengahkan.

Selain itu, ia perlu diselesaikan segera supaya dapat memberi tumpuan kepada persiapan gabungan berkenaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU) yang semakin hampir.

“Dalam masa terdekat, kita pun nak hadapi pilihan raya,” kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dua minggu lalu berhubung mesyuarat MT PN bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Sebelum itu pada 12 Januari lalu, beliau mengutuskan surat kepada Timbalan Pengerusi dan Ahli MT PN bagi mengadakan mesyua­rat tergempar membincangkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melantik penggantinya.

Isu yang dijangka dapat dise­lesaikan pada 29 Januari lalu, rupa-rupanya masih kabur apabila Mesyuarat Tertinggi PN bagi membincangkan kedudukan Pen­gerusi gabungan itu dibatalkan atas alasan tidak mengikut Perlembagaan parti.

Selepas peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN pada 1 Januari lalu, Pas secara terbuka mengumumkan mahu me­nerajui PN menuju PRU16 kerana ia adalah resolusi Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Alor Setar, Kedah pada September tahun lepas.

Semasa Muktamar itu, Pas menegaskan bukan sahaja layak tetapi wajib menerajui PN.

Usul di bawah tajuk Pe­mer­kasaan PN itu dibawa Perwakilan Dewan Pemuda Pas yang menyifatkan Pas bukan sekadar rakan komponen dalam PN tetapi adalah parti teras yang bersedia menerajui kepemimpinan negara berbekalkan penga­laman hampir 75 tahun dalam politik tanah air.

Muktamar adalah perhimpunan besar secara tahunan yang dianjurkan Pas untuk merumus keputusan parti dan mendengar arahan serta amanat kepemimpinan. Keputusan tertinggi Pas dibuat di perhimpunan ini.

Perkembangan terkini me­nyak­sikan hasrat Pas untuk me­nunaikan resolusinya itu semakin menjadi kenyataan. Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Pas dilaporkan berkata, parti-parti bukan Melayu dalam PN tidak membantah sekiranya parti itu me­nerajui gabungan tersebut.

Pas mencalonkan seorang pemimpin tertinggi yang merupakan ahli Parlimen sebagai Pengerusi PN. Nama individu tersebut akan dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung Ramadan ini.

Oleh itu, dua nama yang disebut-disebut dari awal iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kembali timbul untuk mengetuai gabungan berkenaan.

Tuan Ibrahim adalah Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Kubang Kerian manakala Ahmad Samsuri pula Naib Presiden Pas serta merupakan Ahli Parlimen Kemaman.

Sementara itu, dalam senarai lima pemimpin tertinggi Pas, Abdul Hadi sudah memberi ba­yangan menolak mengetuai PN manakala Datuk Mohd Amar Abdullah selaku Naib Presiden bukan ahli Parlimen.

Seorang lagi Naib Presiden Pas adalah Datuk Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, namun nama beliau jarang disebut akan dicalonkan sebagai Pengerusi PN.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN