SEREMBAN: Selepas aksi buruk pasukannya dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, Nidzam Jamil meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan di akaun media sosial NSFC malam ini.
“Pihak kelab menghargai segala jasa dan dedikasi beliau buat skuad Jang dan mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Tambah NSFC, sehubungan itu, penolong ketua jurulatih, K. Rajan telah diberi kepercayaan penuh untuk memimpin pasukan sebagai ketua jurulatih interim sehinggga makluman selanjutnya.
“Fokus utama kelab dan barisan kejurulatihan pada ketika ini adalah untuk mengembalikan kestabilan serta moral pemain bagi mengharungi baki perlawanan musim ini,” kata kenyataan itu lagi.-UTUSAN.










