LONDON: Duta Palestin ke United Kingdom (UK), Husam Zomlot, mengutuk keputusan Muzium British di London untuk menghapuskan perkataan Palestin daripada pameran tertentu, susulan tekanan kumpulan pro-Israel.
“Institusi kebudayaan tidak seharusnya menjadi medan kempen politik. Palestin wujud. Ia sentiasa wujud dan terus wujud,” lapor agensi berita Wafa, memetik kenyataan Husam semalam.
Akhbar The Guardian melaporkan, muzium itu mengemas kini beberapa pameran di galeri Asia Barat purba untuk menggantikan perkataan Palestin kepada Kanaan.
Langkah itu dibuat selepas kumpulan UK Lawyers for Israel menyuarakan kebimbangan penggunaan perkataan Palestin dalam pameran berkaitan wilayah Levant dan Mesir purba boleh mengaburkan sejarah Israel serta orang Yahudi.
Dalam surat kepada pengarah muzium, Nicholas Cullinan, kumpulan itu mendakwa penggunaan nama tunggal Palestin secara retrospektif ke atas seluruh wilayah merentasi ribuan tahun menghapuskan perubahan sejarah dan mewujudkan gambaran kesinambungan yang tidak tepat.
Muzium itu berkata, ia melihat perkataan Palestin tidak lagi dianggap sebagai neutral dari segi sejarah, dan mungkin ditafsirkan sebagai rujukan kepada wilayah politik.
Bagaimanapun, Kedutaan Palestin menegaskan cubaan menjadikan nama negara itu sebagai sesuatu yang kontroversi berisiko menyumbang kepada iklim lebih luas yang menormalkan penafian kewujudan rakyat Palestin.
“Ketika rakyat Palestin di Gaza berdepan pembunuhan beramai-ramai dan penduduk di Tebing Barat menghadapi pembersihan etnik, penjajahan serta keganasan yang ditaja negara,” katanya.
Setakat ini, lebih 9,000 individu menandatangani petisyen di Change.org yang menggesa muzium itu membatalkan keputusannya, dengan alasan langkah berkenaan tidak disokong fakta sejarah dan memadamkan kehadiran Palestin daripada ingatan awam.










