Mok Su Viral sudah tiada, maut dirempuh kereta

Mok Su Viral sudah tiada, maut dirempuh kereta

TENGKU Jariahhanna Tuan Ismail atau Mok Su Viral meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta semasa melintas jalan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas yang sebelum ini tular dengan gelaran ‘Mok Su Viral’ maut selepas dirempuh sebuah kereta semasa sedang melintas jalan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.35 pagi itu, mangsa, Tengku Jariahhanna Tuan Ismail, 71, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Zon Merah, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah kereta sedang dalam perjalanan dari arah KB Mall menghala ke Bulatan Padang.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari arah sebelah kiri bahu jalan ke arah kanan bahu jalan.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta berkenaan sempat mengelak sebelum merempuh warga emas itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Zon Merah, HRPZ II manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Azmir memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular di media sosial berhubung kematian, seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Mok Su Viral’ atau ‘Mok Su Bedak Sejuk’ meninggal dunia selepas terlibat kemalangan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran anak saudaranya, Engku Seri Kelantan di Facebook.

Allahyarham ‘Mok Su Viral’ sebelum ini sering tular kerana sering memakai bedak sejuk penuh muka dan sering dirakam berbual mesra dengan orang ramai.

Allahyarham sering kelihatan berlegar-legar di sekitar Kota Bharu, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai dan premis perniagaan, sehingga wajah serta telatahnya mudah dikenali penduduk setempat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN