FLORIDA: Selepas lebih 50 tahun, dunia bakal kembali menyaksikan misi bersejarah menghantar angkasawan mengorbit bulan yang dijadualkan seawal Mac ini.
Ia bakal menjadi perjalanan paling jauh pernah ditempuh oleh manusia ke angkasa lepas.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menetapkan tarikh pelancaran paling awal pada 6 Mac, susulan kejayaan ujian kritikal di mana roket diisi dengan bahan api dan melalui proses kiraan detik pelancaran yang sebenar.
Misi yang dikenali sebagai Artemis II itu akan menyaksikan empat angkasawan memulakan perjalanan selama 10 hari mengelilingi bahagian jauh bulan sebelum kembali ke Bumi.
Misi ini dilihat sebagai persediaan penting sebelum pendaratan manusia di permukaan bulan dilaksanakan pada masa hadapan.
Pengarah Bahagian Sains Planetari NASA, Lori Glaze, dalam satu sidang akhbar pada Jumaat menyatakan keterujaan beliau terhadap perkembangan terbaharu itu.
“Setiap malam saya memandang ke arah bulan dan saya berasa sangat teruja kerana dapat merasakan ‘dia’ sedang memanggil kita dan kita kini sudah bersedia. Keterujaan untuk misi Artemis II benar-benar mula memuncak, kami dapat merasakannya. Masa itu kian hampir,” katanya.
Sebelum ini, latihan persediaan pertama pada awal Februari terpaksa dihentikan lebih awal berikutan masalah kebocoran bahan api hidrogen di tapak pelancaran.
Bagaimanapun, Glaze mengesahkan isu teknikal membabitkan pengedap dan penapis kini telah berjaya diatasi sepenuhnya.
Misi ini akan dikendalikan oleh tiga angkasawan AS iaitu Reid Wiseman, Victor Glover, dan Christina Koch, serta seorang angkasawan Kanada, Jeremy Hansen.
Menurut Glaze, kesemua krew bersemangat tinggi dan telah pun memulakan proses kuarantin wajib sebagai persediaan akhir sebelum hari pelancaran di Pusat Angkasa Kennedy, Florida.
Kejayaan misi Artemis II ini bukan sahaja akan memecahkan rekod jarak perjalanan manusia di angkasa, malah bakal menyaksikan Christina Koch menjadi wanita pertama dalam sejarah yang menyertai misi ke bulan. -BBC










