MICHOACAN: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, mengumumkan negaranya akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Cuba, di sebalik rundingan yang masih berterusan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi melonggarkan sekatan minyak ke atas negara pulau itu.
Bercakap dari Michoacan pada Jumaat, Sheinbaum berkata, bantuan tersebut akan dihantar dalam masa terdekat.
“Kami merancang untuk menghantar bantuan ini selewat-lewatnya pada Isnin jika tidak dapat dilakukan hujung minggu ini. Ia merangkumi bekalan makanan dan keperluan lain yang telah mereka mohon,” katanya.
Beliau turut menambah Mexico akan meneruskan ‘usaha diplomatik’ dengan AS untuk memulihkan akses Cuba terhadap bekalan minyak, yang merupakan bahan api kritikal bagi menjana rangkaian elektrik negara itu.
Bagaimanapun, Sheinbaum mengaku cabaran besar yang dihadapi memandangkan AS mengancam untuk mengenakan tarif terhadap mana-mana negara yang cuba melanggar sekatan tenaga tersebut.
“Sudah tentu, kami tidak mahu Mexico dikenakan sebarang sekatan,” jelas beliau kepada pemberita.
Kenyataan itu menyusul selepas Trump mengeluarkan perintah eksekutif minggu lalu yang mengisytiharkan kerajaan komunis Cuba sebagai ‘ancaman luar biasa’ kepada AS, sekali gus memerlukan pengisytiharan darurat nasional.
Trump memetik laporan mengenai pencabulan hak asasi manusia di pulau itu, penghijrahan beramai-ramai rakyat Cuba, serta hubungan rapat negara itu dengan Russia, China, dan Iran sebagai alasan tindakan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada pengisytiharan Trump, pentadbirannya berikrar untuk mengenakan tarif ke atas mana-mana negara yang membekalkan minyak kepada Cuba, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.- ALJAZEERA









