Meta baca mesej pengguna WhatsApp?

Meta baca mesej pengguna WhatsApp?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyiasat dakwaan Meta boleh membaca kandungan mesej pengguna yang disulitkan di platform pesanan WhatsApp miliknya.

Laporan itu muncul susulan tuntutan mahkamah yang difailkan minggu lalu, mendakwa Meta boleh mengakses hampir semua komunikasi peribadi pengguna WhatsApp.

Meta menafikan tuduhan itu dengan menyifatkan dakwaan dalam tuntutan mahkamah tersebut sebagai palsu dan tidak masuk akal, lapor Bloomberg.

Gergasi teknologi itu mencadangkan dakwaan tersebut adalah taktik untuk menyokong NSO Group, firma Israel yang membangunkan perisian intip digunakan terhadap aktivis dan wartawan, dan baru-baru ini tewas dalam tuntutan mahkamah yang dikemukakan oleh WhatsApp.

Firma yang memfailkan tuntutan mahkamah minggu lalu terhadap Meta, Quinn Emanuel Urquhart & Sullivan, mengaitkan dakwaan itu dengan pemberi maklumat ‘berani’ yang tidak dinamakan dari Australia, Brazil, India, Mexico dan Afrika Selatan.

Firma itu kini sedang membantu NSO Group dalam rayuan terhadap keputusan mahkamah persekutuan AS tahun lalu, yang memerintahkan syarikat itu membayar AS$167 juta (RM658 juta) kepada WhatsApp kerana melanggar terma perkhidmatan ketika menggunakan perisian intip Pegasus terhadap lebih 1,400 pengguna.

“Kami sedang mengenakan sekatan terhadap Quinn Emanuel kerana memfailkan tuntutan mahkamah tanpa merit yang direka semata-mata untuk menarik perhatian media,” kata jurucakap Meta, Carl Woog, dalam satu kenyataan.

WhatsApp menggelarkan dirinya sebagai platform sulit hujung ke hujung, bermakna mesej hanya boleh dibaca oleh pengirim dan penerima, dan tidak dinyahkod oleh pelayan di tengah.

Berbeza dengan beberapa aplikasi pesanan lain seperti Telegram, yang menyulitkan mesej antara pengirim dan pelayannya sendiri, menghalang pihak ketiga daripada membaca mesej tetapi membenarkan ia dinyahkod dan dibaca oleh Telegram.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN