MAIPs salur sumbangan RM150,000 buat mangsa banjir Acheh - Utusan Malaysia

MAIPs salur sumbangan RM150,000 buat mangsa banjir Acheh

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan membuat simbolik penyerahan sumbangan buat manga banjir Acheh, Indonesia bersempena penganjuran Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 di Kangar, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM150,000 bagi meringankan penderitaan mangsa banjir di wilayah Acheh, Indonesia.

Majlis simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Penyerahan inisiatif itu merupakan cerminan keprihatinan jitu umat negeri ini terhadap musibah besar melanda wilayah tersebut sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kutipan tersebut merupakan penglibatan seluruh kariah masjid di negeri ini sekali gus membuktikan institusi masjid memainkan peranan amat kritikal sebagai pusat penggerak kebajikan dan perpaduan ummah merentasi sempadan geografi.

“Sumbangan ini adalah amanah daripada seluruh umat Perlis. MAIPs merasa amat terharu dengan maklum balas yang diberikan oleh masyarakat di mana dalam tempoh singkat, kutipan daripada 101 masjid ini menunjukkan betapa kuatnya semangat solidariti kita terhadap saudara-saudara kita di Acheh yang sedang diuji dengan bencana banjir besar,” katanya.

Sebagai rekod, dana bantuan yang dikumpulkan itu merupakan hasil mobilisasi kutipan digerakkan secara serentak di 101 buah masjid di seluruh Perlis melalui ‘lTabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut turut merangkumi sumbangan ikhlas daripada pelbagai lapisan masyarakat dan para dermawan yang tampil menyahut seruan kebajikan yang dianjurkan oleh MAIPs.

Mohd Nazim berkata, pemilihan Yayasan Ubudiah Acheh sebagai rakan pelaksana dengan kerjasama Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Sumatera Utara adalah berdasarkan pengalaman badan bukan kerajaan (NGO) itu yang mempunyai rangkaian kerja mantap di kawasan terjejas.

“MAIPs merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa masjid dan para penderma budiman yang telah menyumbang.

“Segala usaha kolektif ini diharapkan dapat memberikan sedikit sinar harapan dan kekuatan kepada mangsa banjir di Acheh untuk bangkit semula membina kehidupan mereka, di samping mendoakan agar setiap sumbangan yang diberikan dikurniakan ganjaran pahala berlipat ganda,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN