PETALING JAYA: Kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa ramai pelajar universiti bekerja sambilan bagi memastikan kelangsungan hidup, meski terpaksa mengorbankan masa rehat serta tumpuan terhadap pengajian.
Pekerjaan sambilan kini bukan lagi dilihat sebagai pilihan untuk wang poket semata-mata, sebaliknya keperluan mendesak bagi menampung kos asas seperti makanan, pengangkutan, sewa rumah serta perbelanjaan tidak dijangka.
Keadaan itu turut menyebabkan sebahagian pelajar mengamalkan penjimatan secara ekstrem, demi memastikan mereka mampu terus menamatkan pengajian.
Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Putri Ainfarisya Abdul Rasid, 22, berkata, keperluan hidup dan rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri menjadi faktor utama yang mendorongnya bekerja sambilan walaupun ibu bapanya mempunyai pendapatan tetap sebagai guru.
“Saya sedar tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa. Walaupun gaji mereka tetap, komitmen keluarga sangat besar. Saya bekerja supaya dapat menanggung keperluan sendiri dan pada masa sama meringankan beban mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Putri Ainfarisya berkata, dia bekerja sambilan sebagai penyedia teh di sebuah kedai minuman terkenal ketika cuti semester serta pernah bekerja sebagai juruwang di kafe kolej penginapannya pada hujung minggu.
Sementara itu, pelajar Pengajian Bahasa Gunaan Dalam Komunikasi Profesional Bahasa Inggeris, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Alieya Ariessa Affendi, 23, berkata, dia bekerja sambilan di bahagian stor sektor peruncitan dengan tempoh hampir 18 jam seminggu bagi menampung perbelanjaan bulanan minimum sekitar RM500.
Katanya, pendapatan bapanya sebagai pekerja bebas dalam bidang pengurusan acara tidak menentu manakala tanggungan keluarga yang besar menyebabkan dia perlu berdikari menampung kos tambahan pembelajaran dan keperluan peribadi.
“Saya juga perlu menanggung kos sewa rumah, keperluan asas dan kos pengangkutan. Wang saku yang diterima tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan itu,” katanya.
Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Hani Najwa Zulaikha, 23, pula memilih menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kampus dengan menjual biskut kerana lebih fleksibel serta tidak mengganggu jadual kuliah dan tugasan akademik.
“Saya berniaga sekadar kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan untuk simpanan dan keperluan sendiri. Saya juga tidak mahu terlalu kerap meminta duit ibu bapa kerana faham pengorbanan mereka,” katanya yang mengambil jurusan Pendidikan Kesusasteraan Melayu.-UTUSAN.










