Lubuk Yu, Tasik Chini dipulihara sebagai warisan geologi

Lubuk Yu, Tasik Chini dipulihara sebagai warisan geologi, biodiversiti

MOHAMAD Azrisyafiq Mohamed Juhari menunjukkan kawasan Maran-Chini Wilayah Geopark Kebangsaan bagi pemuliharaan warisan geologi, biodiversiti dan lanskap semula jadi Pahang. – mingguan/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kawasan Lubuk Yu, Air Terjun Teladas, Bukit Kertau, Pekan Lama Chenor dan Tasik Chini dekat sini menjadi antara lokasi yang diangkat di bawah Aspirasi Wilayah Maran–Chini Geopark iaitu inisiatif strategik bagi memulihara warisan geologi, biodiversiti serta budaya Pahang.

Penolong Pegawai Operasi Perbadanan Taman Negeri Pahang, Mohamad Azrisyafiq Mohamed Juhari berkata, kajian oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada 2022 mendapati kawasan Maran–Chini mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai Wilayah Geopark Kebangsaan.

Katanya, cadangan wilayah Maran–Chini Geopark meliputi keluasan kira-kira 2,736 kilometer persegi dengan sempadan merangkumi keseluruhan da­erah Maran serta sebahagian kawasan Tasik Chini di daerah Pekan.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan pembentukan wilayah geopark yang bersifat menyeluruh dan bersepadu me­rangkumi elemen geologi, biodiversiti serta warisan budaya dan komuniti setempat.

“Tasik Chini yang berstatus Rizab Biosfera UNESCO sejak 2009 dan mengekalkan pengiktirafan pada 2023, dikenal pasti sebagai komponen penting dalam aspirasi geopark berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas menyampaikan taklimat Aspirasi Maran–Chini ke Arah Pengiktirafan Geopark Kebangsaan sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur Ne­geri Pahang di Felda Cempaka Jengka 2, di sini semalam.

Mohamad Azrisyafiq berkata, antara geo tapak utama yang mempunyai nilai geologi tinggi adalah Konglomerat Felda Jengka, formasi gabro, batu pasir Mangki di Lubuk Yu serta Air Terjun Teladas yang mempamerkan batuan sedimen berusia era Jura–Kapur di kawasan Batu 55.

Turut dikenal pasti ialah batuan Kampung Pesagi, batu kapur Mengapur, granit Sri Jaya, Sungai Pahang, batuan Genting Jengka serta beberapa tapak lain yang masih dalam proses dokumentasi serta kajian terperinci.

“Selain kekayaan geologi, wilayah aspirasi geopark ini turut merangkumi biotapak pen­ting termasuk Kompleks Hutan Taman Negeri Lubuk Yu serta Tasik Chini Rizab Biosfera yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna,” katanya.

Daripada sudut warisan budaya dan sejarah, beberapa tapak dikenal pasti sebagai komponen sokongan geopark antaranya Bandar Tun Abdul Razak (Jengka), Kuil Sri Maranthandavar, Kampung Orang Asli Bot-Bot dan Kampung Orang Asli Bangas.

Tapak warisan lain terma­suk Pekan Lama Chenor, Bukit Kertau dan Pekan Maran yang mencerminkan sejarah penempatan awal serta kepelbagaian budaya masyarakat setempat.

Mohamad Azrisyafiq berkata, gabungan elemen geologi, biodiversiti dan warisan komuniti itu mampu membentuk satu naratif geopark yang unik serta berpotensi menjadikan Maran–Chini sebagai destinasi pelancongan lestari berasaskan ilmu dan warisan.

Menurutnya, konsep Maran–Chini Geopark melibatkan dua kawasan pentadbiran iaitu daerah Maran dan Tasik Chini Rizab Biosfera di Pekan, selari dengan pendekatan geopark rentas daerah seperti Gombak–Hulu Langat Geopark di Selangor.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN