Lubnan perlu empat bulan lucutkan senjata Hezbollah

Lubnan perlu empat bulan lucutkan senjata Hezbollah

SEORANG pemandu mengibarkan bendera Hezbollah ketika menyertai perarakan di pinggir bandar selatan Beirut.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kerajaan Lubnan memaklumkan tenteranya memerlukan sekurang-kurangnya empat bulan untuk melaksanakan fasa kedua pelan ketenteraan bagi melucutkan senjata kumpulan Hezbollah di selatan negara itu.

Tahun lalu, kerajaan Lubnan berikrar untuk melucutkan senjata Hezbollah, yang terjejas dalam perang dengan Israel, dan menugaskan tentera merangka pelan pelaksanaan.

Tentera sebelum ini berkata, fasa pertama pelan berkenaan diselesaikan bulan lalu, meliputi kawasan antara Sungai Litani dan sempadan Israel, kira-kira 30 kilometer ke arah selatan.

Fasa kedua pula melibatkan kawasan antara Sungai Litani dan Sungai Awali, sekitar 40 kilometer di selatan Beirut.

Menteri Penerangan, Paul Morcos berkata, kerajaan mengambil maklum pembentangan kepimpinan tentera mengenai peringkat kedua pelan itu.

“Terdapat tempoh masa empat bulan, yang boleh dilanjutkan bergantung kepada keupayaan sedia ada, serangan Israel serta halangan di lapangan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet semalam.

Israel, yang menuduh Hezbollah mempersenjatai diri, mengkritik kemajuan tentera Lubnan sebagai tidak mencukupi, selain terus melancarkan serangan berkala ke atas negara itu walaupun gencatan senjata November 2024 bertujuan menamatkan lebih setahun permusuhan dengan kumpulan disokong Iran berkenaan.

Israel turut mengekalkan tenteranya di lima kawasan strategik di selatan Lubnan, manakala Hezbollah menolak gesaan supaya menyerahkan senjatanya di utara Sungai Litani.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan serangan Israel pada Isnin di selatan negara itu mengorbankan dua individu, sementara tentera Israel menyatakan pihaknya menyasarkan anggota Hezbollah.

Pada hari sama, sebelum mesyuarat Kabinet, ketua Hezbollah, Naim Qassem berkata, usaha kerajaan Lubnan yang memberi tumpuan kepada pelucutan senjata adalah ‘satu dosa besar’ kerana isu itu menurutnya memenuhi matlamat pencerobohan Israel.

“Hentikan semua tindakan untuk mengehadkan senjata,” katanya dalam ucapan yang disiarkan televisyen, sambil menambah ‘konsesi berterusan’ kerajaan turut menyumbang kepada serangan tanpa henti Israel.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN