KSU kena berani katakan tidak

KSU kena berani katakan tidak

BORHAN DOLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Setia­usaha (KSU) kementerian perlu berani mengatakan tidak kepada arahan orang atasan termasuk menteri bagi menjaga integriti tadbir urus.

Bekas Ketua Pengarah Per­khid­matan Awam, Tan Sri Borhan Dolah berkata, KSU juga perlu mengemukakan cada­ngan, nasihat yang lebih baik dan berkesan dalam mencapai objektif menteri atau orang atasan.

“Ada masa, kita ini terjebak di tengah-tengah, sama ada mengikut arahan yang kadang kala boleh menjejaskan diri. Dan kalau tidak ikut, menteri mungkin tidak berkenan maka diminta untuk keluar serta ada perkara-perkara yang diminta, kita tahu ia salah.

“Kerana itu, setiap KSU perlu nasihatkan perkara yang betul dahulu kepada ketua dan mencadangkan cara-cara yang sesuai atau tidak salah dalam menyelesaikan masalah.

“Menjadi tanggungjawab me­reka untuk menjadi penasihat serta memudahcarakan ke­hendak-kehendak menteri da­lam kaedah yang teratur dan dibenarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, prestasi 27 KSU kementerian mula dipantau dan dinilai secara berstruktur menerusi pelaksa­naan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP).

Antaranya merekodkan kelewatan pelaksanaan projek atau salah tadbir urus dalam kepe­mimpinan tertinggi kemen­terian.

Mekanisme baharu itu meletakkan akauntabiliti kepemim­pinan tertinggi kerajaan di ba­wah pemantauan berasaskan data yang mula dilaksanakan tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan DEEP, Borhan berkata, beliau yakin bahawa sistem tersebut akan berkesan dalam memastikan integriti dan tadbir urus yang baik di setiap kementerian.

Katanya, sistem tersebut merupakan penambahbaikan daripada sistem yang terdahulu berdasarkan peredaran zaman dan cabaran semasa.

“Saya percaya dan yakin sistem yang baharu ini ada nilai tambah terhadap sistem-sistem sedia ada yang kita gunakan,” katanya.

Beliau percaya, kewujudan sistem pemantauan tersebut tidak menandakan wujudnya masalah di setiap Kementerian.

“Dari masa ke semasa, kita memang akan keluarkan sistem-sistem yang lebih baik dan mengikut kehendak kerajaan semasa. Jadi kita akan pastikan pemantauan itu mengikuti, mendekati serta merangkumi kehendak kerajaan pada ketika itu.

“Setiap kerajaan mempunyai pendekatan-pendekatan yang spesifik, tetapi ia tidak menandakan masalah,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN