KUALA LUMPUR: Ungkapan ‘cerai’ dalam satu sesi audio siar baru-baru ini bukanlah satu modal politik sebaliknya kenyataan spontan bertujuan mengajak semua pihak kembali memberi tumpuan kepada keharmonian dan kemajuan negara.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, kenyataan beliau itu tidak membawa maksud literal seperti yang ditafsirkan dan dimanipulasi oleh segelintir pihak sebagai satu polemik politik.
“Perkara itu sudah selesai. Saya tidak pernah berniat mengatakan kita mahu ‘bercerai’. Itu satu ungkapan untuk mengajak kita hidup dalam harmoni dan hidup dalam keamanan.
“Kita harus fokus kepada apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki cara kita mengurus ekonomi supaya akhirnya rakyat hidup dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.
Ahli Parlimen Kapit itu ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek pembinaan Penjara Sibu, Sarawak di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya itu mencetuskan kontroversi selepas mengungkapkan kenyataan ‘Jika tidak suka kami, ceraikan kami’ ketika bercakap mengenai perbalahan politik Semenanjung dan Sarawak dalam satu sesi audio siar baru-baru ini.-UTUSAN.









