Kedah kubu awal PKR, Anwar yakin mampu tawan semula

Kedah kubu awal PKR, Anwar yakin mampu tawan semula

ANWAR Ibrahim duduk bersama ahli PKR Kedah ketika hadir merasmikan Konvensyen Keadilan Kedah 2026 di Hotel Raia, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah berpotensi untuk ditawan semula oleh PKR di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pernah menjadi kubu awal parti berkenaan, sebelum ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawasan yang pernah dimenangi sebelum ini wajar dikembalikan, khususnya yang terletak di bahagian selatan Kedah.

Beliau justeru meminta pimpinan dan ahli menumpukan usaha memperkukuh parti serta 15 cabang di seluruh negeri kerana PKR sedang berada pada tahap terbaik ketika ini. 

“Kedah adalah negeri yang telah menunjukkan keupayaan dan potensi yang baik. Kawasan negeri dan Parlimen yang pernah kita tawan dengan berjaya perlu dipertahankan, terutamanya di selatan Kedah.

“Negeri ini adalah contoh terbaik ‘based’ Keadilan terawal dan mudah-mudahan dengan semangat yang ditunjukan kita dapat bina dan  boleh menjana kekuatan parti,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Keadilan Kedah 2026 di sini, hari ini.

Anwar berkata, kejayaan parti bukan sahaja bergantung kepada ahli tetapi juga kepada penyatuan dan kerjasama di peringkat pimpinan.

“Apa yang penting, parti kita menang dan perjuangan reformasi yang dibawa sejak awal perlu diteruskan. Kita telah melalui banyak cabaran, kini semua keperluan tersedia untuk melaksanakan kerja parti dengan lebih efektif,” katanya.

Namun, beliau mengakui bahawa tiada perkara yang sempurna kerana cabaran untuk memimpin negara sentiasa wujud terutama dengan kepelbagaian wakil dalam kerajaan.

“Memimpin negara bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan sebahagian wakil PKR, wakil UMNO dan GPS yang bekerjasama dalam kerajaan. Namun, kita berusaha seolah-olah satu suara, satu pasukan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN