HULU LANGAT: Kerajaan sudah berbincang mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan berjalan dalam keadaan baik setelah Kabinet mengambil maklum desakan DAP agar RCI itu ditubuhkan
“Kita sudah bincang tadi elok, nanti ada kenyataan (dikeluarkan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini semalam.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan penuh oleh Jawatankuasa Khas Siasatan berkait isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki akan diserahkan kepada kerajaan minggu depan selepas siasatan mengenainya hampir selesai.
Katanya, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa jawatankuasa siasatan yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Moktar hampir selesai proses siasatan dan akan menyerahkan laporan penuh pada minggu hadapan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membincangkan dengan mendalam isu-isu dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
“Berhubung dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis telah dibuat dan siasatan segera sedang dilakukan bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang telah melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya semalam.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju bahawa isu-isu terkait SPRM ini perlu dipandang serius oleh kerajaan termasuk mengenai cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berkenaan.
“Jemaah Menteri akan meneliti terlebih dahulu laporan jawatankuasa siasatan itu sebelum mempertimbang tindakan-tindakan susulan termasuk keperluan pelaksanaan siasatan RCI,” katanya.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo sebelumini berkata, walaupun SPRM telah menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas namun penafian semata-mata tidak mencukupi.
Katanya, apabila integriti agensi pencegahan rasuah utama negara dipersoal penafian dikeluarkan sendiri tanpa siasatan bebas tidak mencukupi dan tidak membantu memulihkan keyakinan awam serta pelabur.
Jelasnya, dakwaan berkenaan adalah spesifik kerana menamakan individu, syarikat serta merujuk kes-kes tertentu, sekali gus memberi asas mencukupi untuk siasatan dimulakan.-UTUSAN.











