Isu Perlis sudah lama dibawa ke Pas Pusat, tetapi tiada tindakan - Hashim - Utusan Malaysia

Isu Perlis sudah lama dibawa ke Pas Pusat, tetapi tiada tindakan – Hashim

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendedahkan isu dalaman Pas di Perlis yang membabitkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli telah dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Pas Pusat sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini masih belum menemui sebarang penyelesaian konkrit.

Menurut Hashim, sebagai Mursyidul Am Pas, beliau telah melaporkan perkara yang dianggap tidak wajar berlaku di Perlis itu kepada pimpinan pusat termasuk Presiden parti, namun maklum balas serta tindakan susulan yang diharapkan tidak berlaku.

Katanya, susulan pendedahan berkenaan, pimpinan Pas Pusat telah mengarahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad untuk mengadakan pertemuan dengan beliau.

“Pertemuan itu telah berlangsung lebih dua kali. Dalam pertemuan berkenaan, saya telah mendedahkan perkara yang saya lihat tidak betul dan perlu diperbetulkan. Namun sehingga lebih tiga tahun berlalu, masih tiada jawapan serta tindakan jelas.

“Oleh itu, tidak sepatutnya saya dituduh bercakap bagi pihak Majlis Syura Ulama tanpa
berunding,” katanya kepada Utusan Malaysia, mengulas dakwaan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk atau berunding dengan Majlis Syura Ulama, khususnya berkaitan pengguguran
keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perlis sebelum ini.

Hashim turut memohon ma­af sekiranya kenyataan dikeluarkan sebelum ini dianggap keras, namun menegaskan niat beliau adalah untuk kebaikan parti dan jemaah secara keseluruhan.

“Itu yang saya nak cakap pun, saya minta maaflah kalau saya terkasar. Saya berharap semua pihak dapat mengambil iktibar serta bersama-sama melihat dan memahami situasi sebenar di Perlis.

“Kepentingan jemaah mesti diletakkan mengatasi segalanya bagi memastikan ke­ langsungan
perjuangan Pas terus utuh,” katanya.

Katanya, isu di Perlis tidak sepatutnya berlarutan jika ditangani dengan baik sejak awal.

Hashim juga menyarankan pucuk pimpinan Pas Pusat agar berlapang dada menimbang semula rayuan keahlian tiga ADUN Pas Perlis.

Katanya, Majlis Syura Ulama telah menerima rayuan itu agar dapat didengar dan dinilai dengan seadilnya demi perpaduan parti.

“Kita sudah merayu dan menyokong rayuan itu dan jika di mahkamah sekali pun ada proses rayuan, maka dalam kes ini, timbanglah rayuan mereka. Hasrat kita adalah untuk melihat tindakan membaiki keadaan diambil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN