TEL AVIV: Israel cuba mengambil kesempatan terhadap ketegangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dengan berusaha mempengaruhi AS supaya melancarkan serangan terhadap Iran, ketika Washington dan Teheran memilih jalan rundingan untuk mengelakkan peperangan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan mengadakan mesyuarat keselamatan peringkat tinggi disertai pegawai kanan, termasuk Ketua Turus Tentera, Eyal Zami yang baharu pulang dari lawatan ke AS.
Badan penyiaran Israel, KAN, melaporkan Pengarah Mossad, David Barnea turut menghadiri mesyuarat berkenaan.
Zamir dilaporkan menaiki pesawat persendirian ke AS bagi mengelakkan beliau dikesan dan dipercayai berusaha meyakinkan Washington supaya mempertimbangkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Sementara itu, pegawai kanan tentera AS dan Israel mengadakan perbincangan tertutup di Pentagon pada Jumaat, ketika ketegangan dengan Iran terus meningkat, kata dua pegawai AS kepada Reuters dengan syarat identiti mereka dirahsiakan.
Tiada butiran didedahkan mengenai perbincangan antara Pengerusi Ketua Turus Tentera Bersama AS, Jeneral Dan Caine dan Zamir, yang dilaporkan berlangsung secara tertutup.
Amerika meningkatkan kehadiran tenteranya di laut serta memperkukuhkan sistem pertahanan udara di Asia Barat selepas Presiden Donald Trump berulang kali mengancam Iran, dalam usaha menekan Teheran supaya kembali ke meja rundingan.
Kepimpinan Iran pula memberi amaran bahawa perang serantau boleh tercetus sekiranya AS melancarkan serangan terhadap negara itu.
RAMALAN SERANGAN
Zamir meramalkan AS akan melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran dalam tempoh antara dua minggu hingga dua bulan, lapor media tempatan.
“Ini adalah satu tempoh ketidakpastian,” kata Zamir seperti dipetik oleh Radio Tentera semasa mesyuarat penilaian situasi.
Stesen radio itu memaklumkan serangan AS terhadap Teheran tidak dijangka dalam beberapa hari terdekat.
“AS tidak berkongsi semua perkara dengan Israel dan mengecualikannya daripada proses membuat keputusan,” kata penyiar berkenaan.
Media itu turut melaporkan Israel bimbang Trump mungkin mencapai perjanjian dengan Iran mengenai program nuklearnya tanpa merangkumi peluru berpandu balistik Iran.
Sabtu lalu, pegawai keselamatan tertinggi Iran mengesahkan terdapat kemajuan yang dicapai dalam rundingan dengan AS, walaupun ketua tentera republik Islam itu memberi amaran kepada Washington supaya tidak melancarkan serangan ketenteraan.
Trump juga mengesahkan terdapat dialog antara Washington dan Teheran, sambil mengekalkan ancaman serangan.
“Iran sedang berbincang dengan kita dan kita akan lihat jika kita boleh lakukan sesuatu, jika tidak kita akan lihat apa yang (akan) berlaku. Kita mempunyai armada besar yang sedang bergerak ke sana,” katanya kepada laman berita Fox News.
RUNDINGAN TEGANG
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, bertemu Zamir selepas rundingannya di Washington untuk menilai semula situasi di rantau itu dan kesediaan operasi tentera Israel bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Seorang pegawai Israel yang tidak dinamakan dan terlibat dalam perbincangan itu mendakwa, Trump mahu meneruskan rundingan sukar dengan Teheran, didakwa bertujuan membongkar program nuklear Iran.
Pegawai itu mendakwa, Israel lebih menyokong AS melancarkan serangan terhadap Iran dan memberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh membawa implikasi serius, termasuk kemajuan negara itu ke arah memperoleh senjata nuklear.
Pegawai Israel turut menyuarakan kebimbangan kepada rakan sejawatan mereka di Washington berhubung program peluru berpandu Iran.
Setakat ini, pihak berkuasa Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pertemuan berkenaan.
Sementara itu, akhbar kewangan Israel, The Calcalist, melaporkan kos konflik ketenteraan dengan Iran dianggarkan boleh mencecah AS$10 bilion (RM39 bilion).
Akhbar itu turut memetik kebimbangan pegawai kanan keselamatan Israel mengenai pusingan baharu pertempuran dengan Iran berpotensi menelan puluhan bilion shekel, bergantung kepada tempoh dan skala konflik.- AGENSI










