SPRM sasar kutip RM10b hasil wang rakyat ‘dicuri’ penjenayah

SPRM sasar kutip RM10b hasil wang rakyat ‘dicuri’ penjenayah

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira RM10 billion disasar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) tahun ini bagi pemulihan aset dalam memastikan wang ‘dicuri’ daripada rakyat dikembalikan semula.

Kes-kes berprofil tinggi dan jenayah bersindiket seperti penyeludupan, penipuan serta aktiviti dadah antara yang akan disasarkan SPRM bagi memulihkan kembali hasil cukai negara yang dicuri penjenayah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melalui MTAF akan mempergiatkan operasi dengan menyasarkan kes-kes berprofil tinggi, jenayah bersindiket dan kes berskala besar membabitkan hasil cukai yang tidak dibayar.

“Tahun ini kita menyasarkan RM10 billion bagi pemulihan aset demi mengembalikan wang diambil penjenayah.

“Ini bukan kerja rutin macam kutip cukai yang orang akan bayar tetapi untuk cari balik wang dicuri daripada penyeludupan, jenayah penipuan, aktiviti-aktiviti haram seperti narkotik dan sebagainya.

“Ini wang rakyat, kalau dicuri.. kita akan ‘curi’ kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Justeru, menurut Azam, SPRM dan semua agensi penguat kuasa perlu mempertingkatkan komitmen bagi memulihkan hasil negara melalui aktiviti ketirisan dan penyelewengan.

Beliau juga telah mengingatkan semua pengarah dan pegawai SPRM agar lebih kreatif dan menerokai teknik lain dalam apa jua dilakukan tidak kira siasatan, operasi dan pencegahan.

“Saya sudah pesan menangguh satu perkara akan menyebabkan kerugian. Hidup kena berani dan pengarah kena kreatif. Mereka (penjawat awam) yang berkuasa jadi sasaran kita kerana menerima rasuah. Ada juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jadi tahun ini mesti lebih tegas dan berkesan dengan penggunaan teknik baharu dan sebagainya.Di peringkat SPRM, kita kena buat pembaharuan dan pendekatan lain, tidak sama dengan tahun-tahun terdahulu.

“Ini adalah transformasi 2026, kita beri fokus dan lebih efektif serta sasar lebih tinggi. SPRM kena berubah,” tegas beliau.

Sementara itu,Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, keberanian SPRM hari ini mesti dipelihara tanpa campur tangan pihak luar terutamanya politi.

Beliau berkata, sebarang cubaan melemahkan siasatan, melengah pendakwaan atau memanipulasi proses keadilan perlu dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara.

‘Penahanan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar adalah mesej kuat bahawa zaman kebal undang-undang sudah berakhir.

“Rakyat kini menuntut satu perkara sahaja iaitu konsistensi, ketelusan dan keberanian sehingga ke noktah akhir.

“Jika usaha ini diteruskan tanpa takut dan tanpa pilih kasih, barulah keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara dapat dipulihkan. Rasuah hanya akan berakhir apabila kuasa tidak lagi melindungi penjenayah,” katanya.

Menurutnya, SPRM perlu memastikan pendakwaan tanpa pilih kasih dengan tiada lagi ;ikan bilis atau jerung’ dalam sesuatu kes.

“Penahanan individu berprofil tinggi mesti diterjemahkan kepada pendakwaan tuntas di mahkamah, tanpa perlindungan politik atau institusi. Rakyat mahu melihat hukuman, bukan sekadar tangkapan.

“Rampasan aset, pembekuan akaun dan pelucuthakan harta perlu dipercepatkan agar rasuah tidak lagi dilihat sebagai ‘berbaloi’,” katanya.

Malah, agensi penguat kuasa dan teknikal berisiko tinggi seperti alam sekitar, perlesenan, penguatkuasaan tempatan dan perolehan awam perlu melalui audit integriti berkala, termasuk pemantauan gaya hidup pegawai kanan.

“Tanpa perlindungan menyeluruh kepada whistleblower, rasuah berskala besar sukar dibongkar. Akta sedia ada perlu diperkukuh dari segi pelaksanaan, bukan sekadar wujud di atas kertas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN