Israel hadkan 10,000 jemaah solat Jumaat di Masjid al-Aqsa

Israel hadkan 10,000 jemaah solat Jumaat di Masjid al-Aqsa

Gambar SEJUMLAH penganut Islam bersolat Jumaat pada Ramadan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, tahun lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mengehadkan jumlah jemaah Palestin dari Tebing Barat yang diduduki kepada 10,000 orang bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan.

Pihak berkuasa Israel turut mengenakan sekatan umur, dengan hanya membenarkan individu lelaki berusia 55 tahun ke atas, wanita lebih 50 tahun dan kanak-kanak sehingga 12 tahun, untuk memasuki kawasan berkenaan.

Agensi Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal sivil di wilayah Palestin, COGAT, memaklumkan 10,000 jemaah Palestin akan dibenarkan memasuki kawasan Temple Mount untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan, tertakluk kepada permit harian khas yang diperoleh lebih awal.

“Kemasukan lelaki dibenarkan bermula umur 55 tahun, wanita dari umur 50 tahun dan kanak-kanak sehingga umur 12 tahun apabila ditemani saudara mara pertama,” menurut kenyataan agensi itu yang dipetik AFP.

COGAT berkata, sekatan berkenaan hanya terpakai kepada rakyat Palestin dari Tebing Barat.

Semua permit juga tertakluk kepada kelulusan keselamatan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa berkaitan, katanya.

“Selain itu, penduduk yang melakukan perjalanan untuk menunaikan solat di Temple Mount dikehendaki menjalani proses dokumentasi digital di pusat pemeriksaan ketika kembali ke kawasan Judea dan Samaria selepas selesai solat,” menurut kenyataan itu.

Sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023, jumlah kehadiran jemaah di Masjid al-Aqsa dilaporkan menurun berikutan kebimbangan keselamatan dan sekatan oleh Israel.

Gabenor Baitulmuqaddis Palestin minggu ini berkata, pihak berkuasa Israel menghalang Wakaf Islam, badan yang ditadbir Jordan dan menguruskan tapak berkenaan, daripada melaksanakan persiapan rutin menjelang Ramadan, termasuk memasang struktur teduhan dan menubuhkan klinik perubatan sementara.

Imam kanan Masjid al-Aqsa, Sheikh Muhammad al-Abbasi turut memberitahu AFP beliau juga dihalang daripada memasuki kawasan itu.

“Saya dilarang memasuki masjid selama seminggu dan perintah itu boleh diperbaharui,” katanya.

Sheikh Muhammad berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai alasan larangan itu yang mula berkuat kuasa pada Isnin lepas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN