IS mengaku bertanggungjawab serang masjid, bunuh 31 jemaah di Pakistan

IS mengaku bertanggungjawab serang masjid, bunuh 31 jemaah di Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 169 yang lain cedera dalam letupan ke atas sebuah masjid Syiah di pinggir ibu negara Pakistan ketika solat Jumaat semalam.

Kumpulan pengganas IS mengaku bertanggungjawab dalam serangan berdarah di Masjid Khadija al-Kubra, yang dianggap paling dahsyat sejak pengeboman hotel Marriot pada 2008.

Jumlah kematian dijangka terus meningkat memandangkan ramai mangsa yang dikejarkan ke hospital dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Rakaman televisyen dan imej yang tular di media sosial memaparkan suasana cemas ketika pihak polis serta penduduk setempat membantu mengusung mangsa ke hospital berdekatan.

Saksi dan pasukan penyelamat menggambarkan suasana di lokasi kejadian sebagai sangat ngeri dan huru-hara, dengan banyak mayat bergelimpangan di dalam masjid.

Seorang saksi, Hussain Shah, memberitahu agensi berita Associated Press dia sedang bersolat di perkarangan masjid apabila terdengar letupan yang sangat kuat.

“Saya sedar satu serangan besar telah berlaku,” katanya. Tambah beliau, sejurus memasuki ruang dalam masjid, dia mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan dan mengira kira-kira 30 mayat di situ, manakala jumlah mangsa tercedera jauh lebih ramai.

Seorang lagi saksi melalui klip video di media sosial mendakwa serangan dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua individu yang melepaskan tembakan ke arah jemaah sebelum meletupkan bom.

Kumpulan IS sebelum ini sering menyasarkan penganut Syiah yang merupakan golongan minoriti di negara tersebut, selain menyerang pasukan keselamatan dan orang awam.

Meskipun serangan jarang berlaku di Islamabad, Pakistan secara keseluruhannya menyaksikan lonjakan keganasan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan kumpulan pemisah Baloch dan Taliban Pakistan (TTP).

Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, dan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, mengutuk keras serangan tersebut dalam kenyataan berasingan.

“Menyasarkan orang awam yang tidak bersalah adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Seluruh negara berdiri teguh bersama keluarga mangsa dalam waktu yang sukar ini,” kata Zardari.

Perdana Menteri Sharif pula telah mengarahkan siasatan penuh dijalankan bagi memastikan dalang di sebalik serangan itu dikenal pasti dan dihukum dengan seadilnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN