Interpol keluar notis merah tahan taikun minyak Riza Chalid

Interpol keluar notis merah tahan taikun minyak Riza Chalid

MOHAMMAD RIZA CHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah bagi menahan taikun minyak terbesar Indonesia, susulan skandal rasuah bernilai AS$285 juta (RM1.12 bilion).

Mohammad Riza Chalid, 66, yang digelar ‘gasoline godfather’, dikehendaki pihak berkuasa Indonesia atas dakwaan terbabit dalam kes rasuah melibatkan syarikat minyak milik kerajaan, Pertamina, antara 2018 hingga 2023, termasuk pengubahan wang haram dan manipulasi perjanjian pajakan.

Setiausaha Biro Pusat Nasional Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko berkata, Notis Merah itu dikeluarkan pada 23 Januari.

“Kami tidak dapat menyatakan dengan tepat di mana beliau berada, tetapi kami sudah mengetahuinya,” katanya.

Notis itu dihantar kepada 196 negara anggota Interpol bagi mendapatkan bantuan penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menahan sementara Riza Chalid.

Pada Julai lalu, Riza, anak lelakinya Muhammad Kerry Adrianto Riza, serta beberapa pegawai kanan Pertamina dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah berkenaan.

Mereka dituduh bekerjasama mengimport minyak mentah daripada pembekal luar negara pada harga lebih tinggi, sedangkan undang-undang Indonesia mewajibkan bekalan itu diperoleh dari dalam negara, menurut Pejabat Peguam Negara.

Pejabat Imigresen Indonesia berkata, pasport Indonesia milik Riza dibatalkan pada Oktober lalu.

Indonesia sejak sekian lama berdepan masalah rasuah dan menahan ramai pegawai awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2023, seorang bekas menteri komunikasi dipenjarakan selama 15 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah dalam kes yang menurut penyiasat menyebabkan kerugian negara lebih AS$530 juta (RM2 bilion).- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN