Ibu tunggal hidap kanser cekal jaga empat anak

Ibu tunggal hidap kanser cekal jaga empat anak

WARLIDYA Mohd. Isa (dua dari kiri) bersama tiga daripada empat anaknya yang masih bersekolah dan memerlukan perhatian sepenuhnya di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dalam keadaan ba­dan semakin lemah akibat kan­ser pangkal rahim tahap tiga, seorang ibu tunggal dari Kampung Chengal Lempong di sini tetap menggagahkan diri mencari rezeki demi memastikan empat anaknya tidak terputus makanan dan pendidikan.

Warlidya Mohd. Isa, 41, yang kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya pada 2017, kini menjadi satu-satunya tempat bergantung buat empat anak­nya yang masih bersekolah.

Malah, sejak disahkan menghidap kanser pada 2024, kehidupannya ibarat satu ujian berpanjangan yang menuntut kekuatan fizikal dan mental.

“Selepas doktor mengesahkan penyakit kanser, rasa seolah-olah dunia saya gelap gelita.

“Apa yang terlintas hanyalah masa depan anak-anak. Saya gagahkan diri ikut setiap saranan doktor kerana saya perlu sembuh demi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibu tunggal itu kini masih menjalani rawatan susulan selepas pembedahan pangkal rahim, selain pernah melalui dua sesi kimoterapi. Pada bulan depan, dia dijangka menjalani pembedahan tambahan bergantung kepada keputusan biopsi.

Warlidya berkata, walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu, dia tetap keluar bekerja sambilan sebagai jurujual.

“Pendapatan yang diperoleh tidak menentu, sekitar RM1,200 sebulan atau kurang, bergantung kepada tawaran kerja hari­an. Kalau ada kerja, ada gaji.

“Kalau tidak ada, memang tidak ada pendapatan. Saya kena bayar sewa rumah, bil air dan elektrik. Elektrik pun sudah dipotong kerana tunggakan. Saya bayar ansuran, tetapi belum cukup untuk sambungan semula,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, dia menerima bantuan barangan dapur daripada zakat RM200 sebulan dan Bantuan Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) RM400 sebulan.

“Selain itu tak ada bantuan lain. Sebelum ini ada juga kawan-kawan dan emak bantu sedikit, tapi sekarang emak pun tak sihat dan tak dapat bekerja. Selain perbelanjaan keluarga saya turut memikirkan beban kos rawatan akan datang dalam keadaan kesihatan yang sema­kin merosot ini.

“Ketika in saya cuma mahu terus kuat demi anak-anak. Saya risau masa depan mereka jika sesuatu berlaku pada saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ba­gi membantu kos rawatan dan keperluan kewangan keluarga ini boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun Bank Islam miliknya di nombor 06082020144657. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN