Ibu tunggal bergelut dengan gaji RM30 sehari

Ibu tunggal bergelut dengan gaji RM30 sehari

RAJA Sharmi Raja Husin (dua dari kanan) menyerahkan barangan kepada Zunanie Sanusi di Kampung Pengkalan Feri, Pasir Mas, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pendapatan RM30 sehari tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal dari Kampung Pengkalan Feri di sini, bekerja keras demi memastikan sewa rumah tidak tertunggak dan lima anaknya tidak kelaparan.

Zunanie Sanusi, 40, dan anak-anaknya hidup dalam serba kekurangan selepas wanita itu kematian suaminya Nora Alsidi Harun akibat komplikasi hati pada 2024.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, setiap ringgit yang diperoleh digunakan sebaik mungkin bagi membesarkan lima termasuk seorang dikategorikan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berusia antara lima tahun hingga 15 tahun serta membayar sewa rumah RM200 sebulan.

“Saya tidak mahu sewa tertunggak dan anak-anak berasa lapar. Alhamdulillah, setakat ini, sewa rumah tidak tertunggak walaupun pernah saya meminta orang lain untuk membayarnya dahulu dan kemudian menggantikannya semula.

“Walaupun penat, itu tanggungjawab saya sebagai ibu. Saya lega menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM850 sebulan untuk lima anak bermula September lalu. Sebelum ini saya menerima bantuan itu sebanyak RM250,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pengkalan Feri.

Kecekalan ibu tunggal itu mendapat perhatian Yayasan Raja Shamri yang tampil meng­hulurkan bantuan barangan keperluan asas termasuk peti sejuk, mesin basuh, periuk nasi, tilam serta dua basikal bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Pihak yayasan turut membantu menguruskan perpindahan Zunanie sekeluarga ke rumah sewa baharu yang lebih selesa dengan kadar RM300 sebulan, sekali gus memberi kelegaan kepada ibu tunggal berkenaan.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin berkata, pihaknya terpanggil membantu selepas melihat kesungguhan Zunanie yang berusaha keras demi kebajikan anak-anaknya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×