KOTA TINGGI: Seorang ibu bersama bayi berusia tiga bulan maut setelah kereta Perodua Bezza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 65, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, di sini, malam ini.
Dalam kejadian itu, pemandu wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayinya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital Kota Tinggi, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 7.20 malam.
Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta dipandu mangsa bersama lima penumpang yang lain serta sebuah lori jenis Hino yang dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, empat lagi penumpang Perodua Bezza serta pemandu lori kini sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Katanya, mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










