RAFAH: Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin dibenarkan menyeberang ke Mesir pada hari pertama pembukaan semula lintasan Rafah, selepas Israel membenarkan pergerakan terhad penduduk dari wilayah Gaza.
Lintasan Rafah, yang menghubungkan Gaza dengan Mesir, dibuka semula sejak kelmarin tetapi terhad untuk pergerakan penduduk Palestin sahaja.
Fasa perintis dikendalikan dengan kerjasama Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM), Mesir dan pihak berkepentingan lain.
Seorang pegawai Mesir yang enggan mendedahkan namanya memberitahu agensi berita Associated Press, seramai 50 rakyat Palestin akan melintas di setiap arah pada hari pertama pembukaannya.
“(Searamai) 50 orang akan berangkat dari Mesir ke Gaza dan 50 lagi akan menyeberang dari Gaza, pada hari pertama operasi lintasan Rafah,” laporlaman berita AlQahera News, memetik sumber yang tidak dinamakan.
Media Mesir yang dikendalikan oleh kerajaan juga mengesahkan pembukaan itu.
Seorang sumber di sempadan memberitahu AFP, puluhan individu tiba di sempadan bahagian Mesir semalam menunggu untuk memasuki Gaza.
Menurut COGAT, badan Kementerian Pertahanan Israel yang mengawal hal ehwal awam Palestin, pembukaan lintasan itu dibuat selaras dengan perjanjian gencatan senjata dan arahan politik.
Pembukaan tersebut berlaku di tengah keganasan berterusan di Gaza, di mana agensi pertahanan awam wilayah itu melaporkan puluhan maut akibat serangan Israel pada Sabtu, manakala tentera Israel mendakwa ia bertindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata Hamas.
Menurut Israel, pergerakan penduduk keluar dan masuk akan dibenarkan dengan kerjasama Mesir, selepas kelulusan keselamatan individu oleh pihak rejim dan di bawah pengawasan misi Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, rakaman video oleh agensi berita AFP menunjukkan ambulans menunggu di sempadan bahagian Mesir, bersedia menerima pesakit yang dipindahkan untuk rawatan perubatan.
Lintasan Rafah,merupakan pintu utama bagi penduduk dan bantuan kemanusiaan, ditutup sejak Mei 2024 apabila Israel menguasainya semasa perang dengan Hamas, kecuali pembukaan singkat pada awal 2025. – AGENSI/AFP










