Pas bergerak solo hanya untungkan DAP, PH

Pas bergerak solo hanya untungkan DAP, PH

MUHD. ZUHDI MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak mungkin bergerak secara solo dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana langkah itu hanya memberikan kelebihan besar kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Muhd. Zuhdi Marzuki berkata, tindakan tersebut hanya mengulangi senario pertandingan tiga penjuru seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Jelasnya, keadaan itu membolehkan DAP dan PH memenangi kerusi dengan majoriti yang lebih besar, sekali gus mengelakkan berlakunya Parlimen tergantung seperti pada 2022, sekiranya Pas memilih untuk bergerak solo.

“DAP dan PH boleh menang lebih besar daripada majoriti mudah dan tidak akan berlaku Parlimen tergantung seperti pada 2022,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mencadangkan Pas supaya bergerak solo jika isu pelantikan Pengerusi PN tidak diselesaikan dengan segera.

Hashim berkata, Pas mempunyai kekuatan sendiri dan mampu meraih keputusan lebih baik dalam PRU16 terutama di empat negeri dikuasai ketika ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada masa sama kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama dalam gabungan PN demi perpaduan semua pihak.

Kenyataan itu sekali gus menolak spekulasi bahawa Pas akan meninggalkan PN dan bergerak solo pada PRU16 akan datang.

Pandangan sama turut dikongsi Pas Pulau Pinang yang menegaskan parti iu tidak akan bergerak secara solo, sebaliknya lebih yakin untuk bergerak secara dalam pakatan bagi menghadapi PRU16.

Ketua Penerangan Pas negeri yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, di Pulau Pinang, pihaknya sedar bahawa negeri itu mempunyai demografi penduduk dan populasi kaum yang agak berbeza (berbanding negeri lain).

“Jadi, Pas Pulau Pinang akan bergerak secara ‘coalition’ (dalam pakatan) dengan mana-mana pihak yang bersama kita dan yang akan bersama kita.

“Insya-Allah dan saya juga yakin bahawa PN (Perikatan Nasional) akan terus bergerak ke hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN