TUMPAT: Taktik licik sindiket dadah menggunakan kereta sewa dan menyembunyikan ganja dalam bungkusan pakaian terpakai (bundle) terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas hampir 59 kilogram (kg) ketulan ganja mampat.
Rampasan pukul 5.30 pagi itu dilakukan pada 25 Januari lalu selepas sepasukan anggota penguat kuasa JKDM Pengkalan Kubor mengesan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dekat zon bebas cukai di sini.
Menurut Dr. Ishak Ismail yang Menanggung Tugas-Tugas Pengarah JKDM negeri, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu dengan bantuan anjing pengesan dadah Unit Narkotik Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang telah menjumpai hampir 59 kg ketulan ganja mampat.
Katanya, ketulan dadah itu telah disorokan bersama bungkusan pakaian terpakai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Taktik ini merupakan modus operandi baharu yang digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah bagi menggelakan dari dikesan pihak berkuasa.
“Sebelum itu kita telah melakukan intipan selama tiga hari sebelum melakukan serbuan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Ishak memberitahu, nilai rampasan ganja itu dianggarkan berjumlah RM182,481.50.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika disabitkan kesalahan.
“Kita tidak menolak kemungkinan dadah ini dibawa masuk melalui Sungai Golok dari negara jiran.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.-UTUSAN










