TAPAH: Peningkatan lonjakan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dijangka bermula seawal 12 Februari ini sempena cuti sekolah, sambutan Tahun Baharu Cina (17 dan 18 Februari) serta awal Ramadan pada 19 Februari.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, kelancaran trafik sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang disusuli dengan awal Ramadan dijamin melalui jalinan kerjasama antara PLUS dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menurutnya, seramai 294 anggota Rela bakal ditempatkan di kawasan rehat dan rawat (R&R) sebagai persediaan menghadapi lonjakan sehingga 2.2 juta kenderaan di Lebuhraya PLUS.
“Tumpuan kawalan akan diberikan di kawasan rehat dan rawat yang dijangka sesak antaranya di Tapah, Gurun, serta kawasan Rawang dan Seremban.
“PLUS menjangkakan kawasan berkenaan menjadi tumpuan utama pengguna, justeru langkah persediaan awal telah diambil.
“Oleh itu, PLUS telah bekerjasama dengan Rela bagi mengawal trafik dan memastikan pergerakan kenderaan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar sempena Jelajah Media Ke Wilayah Tengah Lebuhraya PLUS di R&R Tapah, hari ini.
Tambah Mohd. Yusuf, PLUS juga turut menambah 26 unit tandas kabin di hentian sebelah dan plaza tol terpilih bagi menghadapi peningkatan jumlah pengunjung.
Katanya, perkara itu dibuat selepas PLUS menganalisis data trafik dan tahap kepadatan pengguna di setiap lokasi, terutama ketika musim perayaan, bagi memastikan keselesaan dan kelancaran perjalanan pengunjung.
“Tandas kabin yang disediakan merangkumi dua kategori iaitu kabin bersaiz kecil khas untuk wanita dan kabin bersaiz besar yang menyediakan kemudahan untuk lelaki serta wanita.
“PLUS menasihatkan pengguna merancang perjalanan lebih awal dan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS, untuk memilih waktu paling sesuai serta mengurangkan kesesakan semasa tempoh puncak,” katanya. – UTUSAN










